Carian
Cara Untuk Memastikan Minda Kekal Aktif Sepanjang Tempoh PKP 
March 31, 2020 Min Ahmad

Cara Untuk Memastikan Minda Kekal Aktif Sepanjang Tempoh PKP 

Seluruh dunia kini berhadapan dengan wabak pandemik COVID-19. Untuk menangani penularan wabak daripada bertambah buruk, kerajaan telah melaksanakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020. Seperti yang anda sedia maklum, tempoh ini telah dilanjutkan daripada 31 Mac 2020 ke 14 April 2020. Oleh yang sedemikian, kita semua tidak mempunyai pilihan lain selain untuk duduk di rumah sepanjang tempoh ini. Walaupun begitu, ini adalah penting untuk mengelakkan penularan wabak ke tahap yang tidak lagi boleh dibendung.

Duduk di rumah tidak bermaksud anda tidak perlu berbuat apa-apa. Tanpa stimulasi minda, anda akan mudah berasa bosan dan dalam worst-case scenario, tertekan. Berikut adalah apa yang boleh anda boleh lakukan sepanjang tempoh PKP ini agar minda anda kekal aktif:

 

Bangun Awal Seperti Biasa

Sepanjang tempoh PKP ini, bangunlah pada waktu yang anda bangun pada hari biasa. Elakkan bangun lambat semata-mata kerana sepanjang tempoh ini anda tidak perlu hadir ke pejabat/ kuliah. Tidur yang berlebihan akan membuatkan anda berasa lesu dan membuat badan anda terasa sengal-sengal akibat kurangan pergerakan. Ini juga dapat mengelakkan anda daripada terpaksa menukar pola tidur setelah tempoh PKP tamat nanti. 

Ada banyak kebaikan bangun awal pagi. Salah satunya ialah meningkatkan kadar positiviti yang sekaligus mampu mengurangkan stress. Sebaik sahaja anda bangun, mulakan hari anda dengan nada optimistik. Positiviti yang anda jana daripada nota minda ini selalunya akan berterusan sepanjang hari. 

Bangun awal juga membolehkan anda tidak tidur lewat di malam hari. Tidur yang cukup dan berkualiti menjadikan minda anda kekal aktif dan membolehkan anda dapat berfikir dengan jelas.

 

Rancang Hari Anda

Selepas anda bangun awal pagi dan mandi, rancanglah hari anda. Berikan diri anda tujuan dan matlamat yang ingin dicapai pada hari tersebut . Ini membolehkan anda terus kekal bermotivasi. Ia mungkin sekecil “membasuh dan menyidai baju”, “menyusun rak buku” atau “mencuba satu resepi baru untuk makan malam nanti” namun ia mampu memberikan anda sense of accomplishment. Ini sekaligus akan membuat anda terus kekal bersemangat.

Sekiranya mental note tidak berkesan untuk anda, buat senarai ringkas to-do list untuk merancang hari anda. Di penghujung hari, tick apa yang telah anda berjaya laksanakan. Dengan cara ini, anda akan berasa hari anda terisi dan ia tidak berlalu begitu sahaja tanpa sebarang aktiviti berfaedah.

 

Buat Senaman Ringan 

Walaupun pergerakan anda terbatas di dalam rumah sahaja, ini tidak bermaksud anda tidak boleh kekal aktif. Senaman regangan ringkas, yoga atau menggunakan peralatan senaman menggerakkan otot badan dan merangsang sistem peredaran badan. Ini dapat menggalakkan penghantaran oksigen ke otak yang mampu meningkatkan daya ingatan, kebolehan untuk membuat pertimbangan dan bertindak balas terhadap situasi sekeliling. Ia juga memastikan anda mendapat tidur yang berkualiti di malam hari dan mengelakkan masalah sukar untuk tidur.

 

Kekal Berkomunikasi

Kita kini hidup di zaman yang penuh kecanggihan teknologi, tiada lagi alasan untuk anda tidak berkomuknikasi dengan insan tersayang tambahan lagi mereka yang jauh di mata. Hubungi ahli keluarga atau kenalan rapat anda dengan kerap. Komunikasi dua hala membolehkan anda bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita. Berbincanglah tentang pelbagai topik. Ini memberikan anda peluang untuk meneroka, memeriksa fakta yang disampaikan dan bertanya. Ia juga dapat memastikan minda anda kekal engaged dan anda tidak terperangkap dalam fikiran yang negatif, lebih-lebih lagi sekiranya anda berisolasi seorang diri di rumah.

 

Makan Makanan Kaya Vitamin B

Makanan seperti bijirin, sayuran hijau dan produk tenusu kaya dengan vitamin B yang penting untuk kesihatan minda. Ia juga membantu dalam penghasilan tenaga untuk badan yang membolehkan anda tidak berasa letih dan lesu. Ia turut memastikan fungsi minda anda tidak merosot untuk jangka masa panjang. 

 

Lakukan Aktiviti Merangsang Minda

Di saat kita terkurung di rumah, adalah sangat mudah untuk kita melakukan aktiviti repetitive yang tidak mendatangkan produktiviti. Tiada salahnya sekiranya anda ingin menonton filem di Netflix namun sekiranya itu sahaja aktiviti yang anda lakukan untuk mengisi masa anda sepanjang tempoh PKP ini, ia adalah tidak baik untuk perkembangan mental anda. 

Antara aktiviti merangsang minda yang paling mudah dilakukan ialah membaca. Selain buku fizikal, ia juga boleh didapati melalui e-book. Carilah bahan bacaan dengan genre yang anda suka untuk mengisi masa anda.

Walaubagaimanapun, sekiranya membaca bukanlah aktiviti pilihan anda, ada banyak pilihan lain yang boleh anda pertimbangkan. Permainan kad, permainan video yang mencabar, bermain alat muzik, membuat silang kata, menyelesaikan sudoku, latihan menguji minda melalui applikasi telefon atau bermain catur adalah antara aktiviti lain yang mempu merangsang minda.

Komen