Cara untuk Menceriakan Hari Anda Dalam Tempoh PKP Ini
Dalam kita melalui tempoh PKP ini di rumah, ada masanya sukar untuk kita berasa bersemangat. Duduk di rumah saban hari boleh mendatangkan tekanan kepada kesihatan mental anda. Lebih-lebih lagi sekiranya ada di antara anda yang menghadapi situasi ini bersendirian dan jauh daripada insan yang tersayang. Berikut adalah tips mudah yang boleh anda cuba untuk meningkatkan semangat anda sepanjang menjalani tempoh PKP ini:
Utamakan Kebersihan
Kebersihan membantu anda untuk untuk kekal bermotivasi. Jangan biarkan rumah anda kotor, baju tidak berbasuh dan pinggan kotor terkumpul di sinki. Persekitaran yang tidak bersih boleh memberikan impak psikologi kepada anda. Pastikan rumah sentiasa bersih agar anda terus rasa ceria untuk terus berada di dalam rumah sepanjang tempoh PKP ini.
Jangan lupa juga untuk mengutamakan kebersihan diri. Mandi, pakai pakaian yang bersih dan rapikan diri anda walaupun anda tidak ke mana-mana. Jadikan aktiviti mengemas dan membersihkan diri sebahagian daripada rutin harian walaupun anda hanya duduk di rumah. Kebersihan diri dan persekitaran sekeliling membantu untuk anda terus kekal bersemangat.
Nikmati Bauan Sitrus
Bauan sitrus dapat membantu anda untuk menaikkan semangat. Bauan ini dapat meningkatkan penghasilan hormon serotonin yang membuatkan anda berasa gembira. Bauan sitrus juga mengurangkan kadar penghasilan hormon norepinephrine yang banyak dihasilkan badan ketika anda berada di dalam stress.
Selain menikmati buah-buahan sitrus sebagai kudapan, terdapat pelbagai produk di pasaran yang mempunyai bauan sitrus yang menyegarkan seperti sabun mandian badan, minyak pati, penyegar ruangan dan lilin aromaterapi. Semburlah penyegar udara haruman lemon di dalam rumah anda untuk menimbulkan suasana yang ceria.
Dengar Alunan Muzik
Muzik mampu mempengaruhi gelombang otak. Muzik yang rancak menaikkan semangat manakala muzik dengan rentak yang lembut dan perlahan bersifat menenangkan. Ia membantu untuk anda berehat dan bertenang.
Tips untuk menggunakan muzik untuk mempengaruhi mood anda ialah dengan memilih muzik yang menenangkan yang membangkitkan mood yang ingin anda rasa, bukannya mendengar muzik yang menguatkan lagi emosi negatif yang sedang anda berhadapan. Sekiranya anda berasa sedih, pilihlah muzik yang rancak manakala dengarlah muzik yang tenang untuk memudahkan anda tidur dan berehat.
Senyum dan Ketawa
Apabila anda berkeseorangan, agak sukar untuk anda berasa terhibur. Namun begitu, ketahuilah anda tidak bersendirian. Buatlah panggilan dan tanyalah khabar insan tersayang. Mereka juga pasti berasa sunyi. Kongsi khabar berita dan bertukar-tukarlah cerita. Ini mampu membuatkan anda tersenyum dan menceriakan hari anda.
Selain itu, hidup di zaman serba canggih, hampir kebanyakan daripada kita mempunyai akses kepada internet. Banyak platform hiburan boleh dinikmati dengan percuma atau dapat dilanggan pada harga yang berpatutan. Tontonlah rancangan lucu yang menghiburkan, anda pasti terasa terhibur.
Senyum dan ketawa membantu badan anda untuk menghasilkan hormon endorphine yang dikenali sebagai hormon gembira. Maka tidak hairanlah ada benarnya di sebalik ungkapan “laughter is the best medicine”.