Carian
Jangan Buat 4 Perkara Ini Semasa PKP. Perkara Nombor 4 paling penting!  
March 31, 2020 Ammar28

Jangan Buat 4 Perkara Ini Semasa PKP. Perkara Nombor 4 paling penting!  

Kita sedia maklum bahawa pihak kerajaan telah memanjangkan tempoh bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini. Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab perlu mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dan memainkan peranan kita dalam menangani wabak Covid-19 ini. 

Jadi, apakah peranan yang anda boleh lakukan sebagai netizen yang bertanggungjawab? 

Jangan Keluar Rumah Jika Tak Perlu

Ya perkara ini sudah diulang berjuta-juta kali di semua platform yang tersedia bagi mengingatkan orang ramai agar tidak keluar rumah jika tiada keperluan atau tiada tujuan yang penting. Nak jumpa kawan? Nak berjogging? Nak ambil angin? Tangguhkan semua itu dulu! Kita bukan sedang bercuti. Kerajaan suruh duduk rumah untuk memastikan kita dan orang-orang di sekeliling kita selamat. 

Ingat, tugas kita amat penting di sini bagi memastikan rantaian penyebaran virus dapat diputuskan bagi mengurangkan kadar jangkitan. Jadi duduk di rumah dan buatlah aktiviti yang berfaedah. 

Kalau perlu membeli barang keperluan, cukuplah seorang sahaja wakil dari setiap rumah untuk keluar membelinya, jangan sesakkan kedai runcit, pasar raya atau pasar borong! Tak perlulah bawa satu keluarga membeli barang. Kasihan anak-anak yang masih kecil dibawa keluar pada saat-saat ini di mana mereka sangat mudah terdedah pada jangkitan Covid-19 ini. Dan di samping itu, jika kita masih degil juga untuk keluar rumah, kita juga telah melawan objektif kerajaan untuk kurangkan pergerakan semasa tempoh ini dan pastinya virus ini akan terus merebak. 

Jangan keluar rumah

 

Jangan Buat Panic Buying

Setiap kali menonton berita jam 8, masih lagi ada laporan mengatakan yang rakyat membuat pembelian barang keperluan secara panik. Ya, hal ini telah berlaku dan masih lagi berlaku. Tak percaya? Anda boleh pergi ke pasar raya berdekatan anda sekarang dan lihat di rak-rak beras, telur, biskut dan roti. Semuanya habis pada setiap hari. Perkara ini tak akan berlaku kalau kita mendengar arahan pihak berkuasa. 

Kan kerajaan dah cakap, bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP ini. Sudah-sudahlah membeli barang yang banyak tapi kadang-kadang kita tak perasan pun bahawa barang yang kita beli itu sebenarnya kita tak perlukan pun, dan yang paling sedih kita dah ambil hak orang lain juga! 

Bayangkan, masih ramai lagi yang memerlukan barang yang anda beli tu. Tapi disebabkan perasaan tamak anda, mereka mungkin tidak dapat makan atau minum sekarang kerana bekalan tidak mencukupi. 

Jangan buat panic buying

Jangan Buat Crowdfunding Sendiri

Baru-baru ini heboh di media sosial mengenai seorang individu yang membuat kutipan derma bagi membantu mereka yang memerlukan disebabkan hilang mata pencarian sepanjang PKP ini. Namun begitu, ingat ya. Niat tidak menghalalkan cara. 

Betul, niat anda tu betul. Tapi caranya salah. Hal ini kerana, untuk membuat kutipan derma anda perlulah mendapat kelulusan dari pihak berkuasa. Ini bagi memastikan duit yang telah didermakan orang ramai sampai kepada pihak yang memerlukan dan bagi mengelakkan sebarang bentuk penyelewengan atau penipuan. 

Banyak organisasi bukan kerajaan (NGO) yang telah memulakan inisiatif bagi membantu mereka yang dalam kesusahan sepanjang tempoh PKP ini. Dan NGO ini juga telah berdaftar dan melalui proses yang betul untuk membuat derma. Dari anda membuat kutipan derma sendiri, lebih baik anda bantu untuk uar-uarkan mengenai inisiatif mereka di laman sosial anda. Orang derma, anda pun dapat pahala. 

Jangan buat crowdfunding sendiri!

Jangan Sebar Berita atau Cerita Palsu

Tengok media sosial atau Whatsapp anda sekarang, pasti ada yang menyebarkan berita atau cerita palsu tanpa usul periksa. Dan yang sedihnya, masih ramai yang mempercayai mesej yang disampaikan dalam berita atau cerita tersebut. 

Peranan anda di sini amat penting untuk tidak terus menyebarkan berita paslu tersebut kerana berita atau cerita yang tiada sumber yang sahih, boleh menyebabkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku! Sebagai contoh, apabila ada menyebarkan Malaysia bakal lockdown disebabkan virus Covid-19 ini, maka orang ramai berpusu-pusu keluar membuat panic buying. 

Dan jika kita perasan, ramai di kalangan orang-orang tua yang banyak menyebarkan berita palsu ini. Tak percaya, lihat dalam group Whatsapp keluarga anda sekarang, pasti ada pak cik, mak cik, malahan mungkin ibu bapa anda sendiri menyebarkan berita palsu tersebut. Tugas anda, hentikan penyebaran ini dan didik mereka untuk mencari ketulenan berita tersebut sebelum menyebarkannya. 

Banyak platform yang anda boleh gunakan untuk memastikan kesahihan sesuatu berita, antaranya di laman-laman berita tempatan seperti AWANI, Harian Metro, The Star dan lain-lain lagi. Atau lebih mudah join sahaja saluran Telegram Majlis Keselamatan Negara di sini. Pihak MKN ada membuat update  tentang berita dan cerita palsu. Ingat, tak pasti jangan kongsi!

Tak pasti jangan kongsi

Diharap dengan peringatan ini, anda dapat menjadi netizen yang bertanggungjawab sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan. Ingat, tugas kita sangat penting bagi memastikan musibah yang kita hadapi sekarang ini dapat ditempuhi dengan lancar tanpa sebarang masalah. 

 

Komen