Sekitar tempoh PKP ini, kita dinasihatkan untuk duduk di rumah dan keluar rumah untuk perkara penting sahaja, seperti untuk mendapatkan bekalan makanan. Namun sekiranya anda tinggal di kawasan zon merah yang mempunyai kadar kes yang tinggi, anda pasti berfikir banyak kali untuk keluar rumah untuk membeli stok makanan, tambahan lagi sekiranya kedai untuk mendapatkan barang keperluan terletak jauh dari rumah. Selain membeli makanan dalam tin, berikut adalah antara jenis sayuran dan buahan yang mampu bertahan lama dalam simpanan yang boleh anda pertimbangkan sebagai keperluan:

 

Kentang

Kentang merupakan salah satu barang keperluan dapur yang menjadi pilihan. Ia boleh digunakan dalam pelbagai masakan dan merupakan sumber karbohidrat yang baik. Di atas para yang kering, dingin dan jauh daripada pancaran cahaya matahari, kentang mampu bertahan di antara 2 hingga 4 minggu manakala di dalam peti ais ia boleh bertahan selama 4 bulan. Produk berasakan kentang pula seperti kentang goreng, tater tots, hasbrown pula boleh bertahan selama 8 bulan di bahagian sejuk beku.

 

Oren

Kita disarankan untuk mengambil dos vitamin C sebanyak 66 hingga 90 miligram setiap hari dan oren adalah antara buahan yang mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi. Selain itu, ia mampu disimpan untuk jangka masa yang panjang. Anda disarankan untuk menyimpan buah oren didalam peti sejuk di bahagian fruit drawer. Dengan ini, ia mampu bertahan sehingga 2 bulan. Namun sekiranya ia mula terasa lembik, berair atau mempunyai kulat berwarna putih dipermukaan kulit buah, sudah tiba masanya untuk anda membuang oren tersebut.

 

Kubis

Kubis, baik kubis hijau, kubis manis atau kubis bunga ialah sayur yang perlu di dalam peti ais anda ada sekiranya anda gemarkan sayuran. Rasa dan tekstur kubis memudahkan ia digunakan untuk pelbagai resepi. Ia mampu disimpan selama 2 hingga 3 minggu, bergantung kepada cara penyimpanan. Cara terbaik untuk menyimpan kobis ialah dengan memotongnya kepada beberapa bahagian dan disimpan di dalam bekas kedap udara yang dilapik dengan tisu dapur. Ini akan memastikan kubis kekal segar dan tahan lama.

 

Epal

Sekiranya anda gemarkan buah-buahan, epal merupakan buah yang wajib anda ada di dalam peti ais. Seperti yang kita sedia maklum, epal mampu bertahan lama di dalam peti ais, iaitu dalam tempoh 2 minggu di dalam peti ais sekiranya anda ingin menikmatinya secara segar. Selepas tempoh itu, epal masih boleh dimakan cuma ia akan mula hilang kerangupannya. Walaubagaimanapun, anda boleh menjadikannya jus atau pai sekiranya anda suka.

 

Labu

Labu mempunyai tempoh hayat yang agak lama selepas ia dituai. Ia mampu bertahan selama 3 bulan sekiranya ia disimpan di tempat yang gelap, kering dan dingin. Selain itu, banyak makanan boleh disediakan dengan menggunakan labu; daripada masakan gaya timur, masakan ala barat serta manisan. Namun sekiranya labu mula terasa lembut, berair atau berkulat, sudah tiba masanya untuk anda membuang labu tersebut.

 

Avokado

Avokado ialah buah yang versatile. Selain digunakan dalam masakan, ia boleh digunakan untuk membuat jus atau menggantikan mentega untuk baking. Ia mempunyai rasa lemak yang kaya dengan vitamin B, E, dan K, fosfurus dan lemak yang baik untuk badan. Di dalam peti ais, ia mampu bertahan sehingga 2 minggu. Simpan di dalam plastik atau balutan kertas dan habiskan ia dalam tempoh 24 jam setelah anda memotongnya,

 

Lobak

Lobak putih dan lobak merah juga tergolong dalam sayuran yang mampu bertahan lama. Lebih besar dan tebal lobak tersebut, lebih lama ia mampu bertahan. Di dalam peti ais, lobak yang segar mampu bertahan di antara 3 hingga 4 minggu. Sekiranya anda telah memotongnya namun masih mempunyai baki, potong kepada saiz kecil, celur dalam air panas selama 3 minit, toskan dan ia boleh disimpan di dalam peti sejuk bahagian beku untuk 12 bulan.

Lihat profil
Min Ahmad

41 artikel di Tajria.