Pandemi virus Corona ini benar-benar mengoncang dunia. Seluruh muka bumi terkesan dengan virus yang tidak nampak dek mata kasar kita. Kesihatan, hubungan, ekonomi dan banyak lagi terganggu dengan impak yang diberikan sang virus ini.

Bumi adalah milik manusia. Tanpa manusia, bumi ini tidak akan berfungsi seperti seharusnya. Tetapi manusia adalah kepunyaan sang sihat, tanpa tubuh badan yang sihat, manusia tidak boleh melakukan apa-apa. Mahu menggerakan ekonomi dengan bermain saham, bertani, berniaga dan sebagainya memerlukan kesihatan yang baik. Sihat bukan hanya dari segi jasmani tetapi juga dari segi jiwa. Virus ini benar-benar merengut hampir ke semua keperluan manusia di muka bumi ini. Tetapi bukan itu yang harus kita pandang. Bukan sisi negatifnya yang harus kita tangisi tanpa melakukan apa-apa. Pandanglah dari sisi yang positif. Tekadkan diri dan bangun kembali.


Detik krisis seperti ini adalah saat yang tepat untuk kita kembali merenung diri. Mencari kembali titik permulaan yang lebih sempurna. Jika kita dahulunya merokok setiap hari lebih dari dua kotak, kini waktunya untuk berhenti. Lihatlah keluarga kita. Isteri, anak-anak yang disayangi, mereka mungkin segan untuk menasihati kita tetapi alangkah bahagianya mereka jika mengetahui kita telah berhenti dari membakar wang. Menurut kajian yang baru dilakukan, perokok mempunyai risiko 14 kali ganda untuk terkena virus Corona ini berbanding orang yang bukan perokok. Apakah kalian tidak takut dengan kajian ini? Apakah kalian tidak kasihan dengan keluarga kalian? Jika kalian mudah terserang dengan virus ini kerana kalian seorang perokok, pasti ahli keluarga kalian terkena tempiasnya jua.


Saatnya kembali mencari nafas segar. Membina kembali hubungan yang rapuh. Bersama-sama bangkit membina kekuatan. Sesebuah negara itu menjadi maju kerana sikap rakyatnya. Makanya, diri sendiri yang harus dilihat terlebih dahulu bukan lagi mencari kesalahan orang lain. Sebagai contoh yang paling terdekat adalah sikap kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, sudah 95% rakyat yang patuh pada arahan sehingga memberi impak yang positif kepada bilangan kes COVID-19 ini. Jika kita teruskan dengan sikap yang baik dan tetap patuh, tidak mustahil kita dapat menghapuskan virus ini di bumi tercinta ini. Tetapi ingat, ini semuanya bermula dari diri sendiri!

 

Lihat profil
Mamatip

6 artikel di Tajria.