5 Tempat Yang Paling Kotor Di Rumah Anda
Kita sering menyangkakan kekotoran dan bakteria sumber penyakit berasal dari kawasan luar rumah kita. Namun tahukah anda banyak bakteria dan patogen sumber penyakit banyak berasal dari dalam rumah kita sendiri? Berikut adalah 5 tempat yang paling kotor di rumah anda serta cara untuk membersihkan dan menyanitasikannya dengan betul:
Span Pencuci

Kita sering mengganggap bahawa tandas adalah tempat yang paling kotor di rumah. Namun tempat yang lebih kotor daripada tandas rumah ialah dapur, dan lebih spesifik lagi ialah span pencuci.
Antara kuman yang paling kerap ditemui di span pencuci ialah bakteria coliform — sejenis bakteria yang merupakan keluarga bakteria yang turut meliputi Salmonella dan E.coli. Walaupun bakteria coliform tidak mendatangkan penyakit kepada manusia seperti Salmonella dan E.coli, kehadirannya di sesuatu tempat menandakan mutu air yang telah tercemar dan kewujudan patogen lain yang boleh memudaratkan kesihatan.
Untuk membersihkan span pencuci pinggan, panaskannya di dalam ketuhar gelombang mikro selama 2 minit setiap hari. Anda juga patut menukar span pencuci anda setiap 2 minggu. Malahan, bagi tujuan membersihkan permukaan, tuala dapur dan kain pengelap adalah lebih sessuai digunakan berbanding span kerana ia boleh disanitasikan dengan sabun dan peluntur dengan kerap.
Sinki Dapur

Sekiranya anda mempunyai span pencuci kotor yang penuh dengan bakteria, anda juga harus memandang sinki dapur anda. Bakteria coliform yang terdapat di span pencuci juga boleh didapati di permukaan sinki. Kulat, yis dan kulapuk juga merupakan antara mikroorganisma lain yang turut dijumpai di sinki. Bayangkan apa yang terjadi sekiranya mikroorganisma ini berpindah ke makanan yang kita sediakan.
Sebaiknya, anda perlu mencuci dan menyahkuman keseluruhan kawasan sinki dapur sekali atau dua kali seminggu. Penapis kotoran sinki juga perlu dicuci sekuranya-kurangnya seminggu sekali. Anda juga digalakkan untuk menyanitasikan kawasan longkang dan saliran dapur dengan menyalirkan bancuhan satu sudu peluntur dan satu liter air sebulan sekali.
Kepala Paip Bilik Air

Kepala paip sinki di tandas dan bilik mandi juga merupakan antara tempat yang paling kotor di rumah. Antara mikroorganisma yang sering dijumpai dipermukaan kepala paip ialah bakteria coliform, staphylococcus, yis dan kulapuk. Bayangkan selepas mencuci tangan dengan bersih selama 20 saat, bakteria ini kembali berada semula di tangan anda akibat kepala paip yang kotor.
Oleh yang sedemikian, anda disarankan untuk membersihkan kepala paip dengan kerap. Seberapa kerap? Setiap hari. Selain mencuci permukaan kepala paip, anda digalakkan untuk membersihkannya dengan tuala pembasmi kuman yang merupakan cara paling mudah untuk membasmi kuman.
Countertop Dapur

Seperti span pencuci dan sinki, bakteria coliform jga boleh dijumpai di permukaan countertop dapur. Tetapi dari mana ia berasal? Coliform adalah bakteria yang paling kerap ditemui dalam saluran usus dan najis haiwan berdarah panas. Maka tidak hairanlah sekiranya bakteria ini dipindahkan daripada barangan dapur segar seperti sayuran, ayam dan daging. Anda juga boleh memindahkan bakteria ini keseluruh kawasan rumah dengan tidak membersihkan tangan selepas menyentuh haiwan peliharaan.
Untuk memastikan kebersihan dapur anda, bersihkan permukaan countertop dengan air sabun hangat. Selepas dibilas dengan air bersih, sanitasikan dengan campuran air dan peluntur atau cecair pembasmi kuman yang bersesuaian dengan material countertop anda.
Peralatan Elektronik
Mengikut kajian yang pernah dibuat, permukaan telefon pintar anda didapati lebih kotor berbanding permukaan tandas. Manakala permukaan alat pengawal televisyen, tetikus dan papan kekunci mengandungi ribuan bakteria, yang di antaranya turut dijumpai di span pembersih. Bayangkan apa yang terjadi apabila anda menyentuh permukaan tersebut dengan jari lantas menyentuh muka atau anak-anak kecil
Oleh yang sedemikian, anda disarankan untuk menyanitasikan alat kawalan jauh, papan kekunci, alatan kawalan permainan video, tetikus, tablet, skrin komputer dan telefon pintar anda dengan tuala pembasmi kuman sekurang-kurangnya sekali seminggu. Pastikan juga tangan anda sentiasa bersih sebelum menyentuh peralatan elektronik ini untuk mengelakkan perpindahan kuman dari satu individu ke satu individu yang lain.