Basuh Lantai Guna Peluntur?
Tahukah anda terdapat beberapa jenis peluntur yang boleh anda gunakan untuk perkara yang berlainan? Ada peluntur atau lebih dikenali sebagai bleach digunakan pada rambut. Ada juga jenis bleach yang digunakan di dalam cucian. Jika untuk lantai, bleach yang sering diguna pakai adalah jenis klorin, iaitu produk berasaskan air yang mengandungi bahan kimia yang dipanggil sodium hypochlorite.
Dengan baunya yang kuat, pasti anda merasakan tahap kebersihan selepas menggunakannya adalah di tahap tinggi. Namun, secara teknikalnya benda itu adalah tidak benar. Jika anda menginginkan rumah dan lantai yang bersih, bleach bukanlah produk yang patut anda gunakan. Tugas sebenar peluntur adalah membasmi kuman dan bukannya membersih.
Misalnya, ramai orang gemar menggunakan peluntur bagi membersihkan tandas dan tab mandi yang mana ia juga membantu memutihkan kotoran pada jubin. Hal ini kerana, bilik mandi adalah kawasan yang terdedah kepada kuman.
Adakah peluntur sesuai untuk membersihkan lantai rumah anda?
Jawapannya adalah tidak sesuai. Hal ini kerana, peluntur mempunyai kimia yang tajam dan berbahaya yang boleh menyebabkan hakisan pada kulit anda. Mencampurkannya dengan sabun pembersih lantai juga boleh menghasilkan toksik yang mana turut merosakkan dan menghakis permukaan lantai.
Berikut adalah beberapa langkah untuk pembersihan menggunakan peluntur yang lebih selamat:
- Campurkan peluntur dengan air untuk pembersihan yang lebih selamat.
- Bersihkan permukaan terlebih dahulu sebelum anda mula menggunakan peluntur. Gunakan sabun pencuci lantai dan air untuk membersihkan permukaan, dan kemudian gunakan peluntur dan air untuk membersihkannya.
- Biarkan campuran peluntur di permukaan selama sekurang-kurangnya 5 minit dan kemudian bilas lantai anda dengan air biasa.
Kesimpulannya, elakkan daripada menggunakan cecair peluntur sebagai pembersih utama lantai rumah anda. Anda disarankan untuk menggunakan sabun pembersih lantai biasa untuk kerja-kerja pembersihan ringan seperti mop lantai kerana lantai berminyak atau mengelap meja makan selepas makan. Ingat, peluntur bukan untuk membersih tetapi ia digunakan bagi tujuan membasmi kuman.