Apa Yang Terjadi Jika Anda Tidak Sarapan?
Sarapan atau makan pagi merupakan hidangan yang paling penting dalam kitaran hari anda. Hal ini kerana ia membantu anda membakar kalori sepanjang hari. Bukan itu sahaja, ia juga memberikan tenaga yang anda perlukan untuk melaksanakan dan menyelesaikan tugasan selain membantu anda untuk kekal fokus di tempat kerja atau di sekolah.
Banyak kajian telah menunjukkan manfaat sarapan kepada kesihatan tubuh badan. Menerusinya, ia menjadikan pengurusan berat badan yang lebih baik, mengurangkan risiko diabetes dan penyakit jantung dalam jangka panjang. Walaupun kebanyakan individu tahu akan manfaatnya, tapi malangnya ia adalah hidangan yang paling sering ditinggalkan yang mana ia tidak dijadikan tabiat dan amalan dalam kehidupan seseorang.
Mengapa Sarapan Penting?
Apabila anda bangun setelah tidur semalaman, anda telah kehilangan banyak nutrien dan tenaga penting untuk melakukan kerja kerana anda mungkin tidak makan sehingga 10 jam. Oleh itu, sarapan penting untuk anda menambah sumber tenaga dan nutrien yang baru di dalam badan anda.
Sumber tenaga tubuh adalah glukosa yang dipecahkan dan diserap daripada karbohidrat yang anda makan. Tubuh menyimpan sebahagian besar tenaganya sebagai lemak, sementara sebahagian lagi glukosa sebagai glikogen yang kebanyakannya tersimpan di dalam hati anda dan sejumlah kecil di dalam otot anda. Selepas anda tidak makan selama 10 atau 12 jam, glikogen anda menjadi lebih rendah sekaligus mengurangkan tahap tenaga anda.
Oleh itu, sarapan adalah penting bagi meningkatkan tahap tenaga anda dan memulihkan tahap glikogen anda untuk mengekalkan metabolisma anda sepanjang hari.
Sarapan Boleh Menurunkan Berat Badan?
Terdapat kajian mengatakan bahawa secara purata, orang yang makan pagi adalah lebih kurus berbanding mereka yang tidak mengambil sarapan. Ia berkemungkinan disebabkan pengambilan nutrien seperti protein dan serat pada waktu pagi membuatkan selera makan anda kekal sepanjang hari.
Bukan itu sahaja, ia turut menghalang peningkatan dan penurunan yang tidak stabil dalam paras glukosa darah yang mana dapat membantu anda mengawal selera makan anda.
Namun, tidak ada sebarang kajian yang menunjukkan pengambilan sarapan pagi boleh menurunkan berat badan anda. Jika anda inginberdiet, pemotongan kalori dengan cara melangkau makan tidak akan membantu. Sebaliknya, anda perlu memberi perhatian kepada apa hidangan yang anda makan, bila waktu anda makan dan kuantiti yang anda makan. Pengambilan makanan yang seimbang adalah penting bagi mendapatkan tubuh badan yang sihat seklaigus menjadikan berat badan yang ideal.
________________________________________________________________________
Melangkau sarapan pagi adalah tidak disyorkan. Pemakanan yang baik bukan hanya mengenai bilangan hidangan yang anda miliki setiap hari, tetapi ia juga bergantung kepada jumlah nutrisi yang dapat diperolehi badan anda. Sekiranya anda tidak mempunyai masa untuk sarapan pagi, dapatkan nasihat dan cadangan daripada pakar pemakanan untuk kandungan nutrisi yang anda perlu ambil untuk makan tengahari dan makan malam.