Carian
Susun Item Mengikut Kekerapan Penggunaan – Kabinet Dapur Lebih Kemas
April 9, 2020 Lina Rosli

Susun Item Mengikut Kekerapan Penggunaan – Kabinet Dapur Lebih Kemas

Pernahkah anda mengalami kesukaran untuk mencari pinggan, cawan atau bekas makanan yang disimpan di dalam kabinet? Pasti ia memerlukan anda untuk memunggah dan mengeluarkan kesemua item dan barang di dalam kabinet sebelum menemuinya. 

Jadi hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda mengenai cara penyimpanan item di dalam kabinet dengan betul. Jangan risau, anda tidak memerlukan ruang yang besar untuk mempunyai dapur sentiasa kemas dan tersusun. Hanya beberapa tips dan teknik berguna untuk mengoptimumkan ruang anda dan mendapatkan ruang dapur yang kemas dan tersusun.

white wooden display cabinet

Berikut adalah teknik untuk mengetahui bagaimana anda boleh mengatur item di kabinet dapur rumah anda:

Apakah Item Yang Perlu Di Simpan Di Kabinet Bahagian Atas:

Kebiasaannya, barang-barang di kabinet atas adalah jenis yang paling kerap anda gunakan. Jika boleh, susun item mengikut label dan kekerapan anda menggunakannya. Berikut adalah item dan barangan yang sesuai diletakkan di kabinet bahagian atas:

white and brown kitchen counter inside room

Makanan

Menyimpan makanan di dalam kabinet dapur hanya disyorkan untuk dapur yang tidak mempunyai pantri. Anda boleh meletakkan barang makanan seperti snek, pasta, tin-tin makanan dan paket minuman 3-in-1 di kabinet atas. Namun, iika anda mempunyai pantri, cuba untuk susun dan simpan makanan sebanyak mungkin supaya kabinet anda hanya menempatkan perkakas lain seperti periuk, kuali dan peralatan memasak yang lain.

Sementara barang-barang seperti bekas rempah ratus, gula dan garam diletakkan di kaunter kabinet. Elakkan meletakkan terlalu banyak barang di atas kaunter kerana ruangan kaunter perlu digunakan untuk memotong, menguli dan melakukan kerja-kerja memasak. Dengan cara ini, kesemua barang menjadi lebih mudah untuk diakses selain tidak mengganggu aktiviti memasak anda.

Gelas dan pinggan mangkuk

Setelah pinggan mangkuk dan gelas selesai dibasuh, pastikan anda terus meletakkannya kembali ke tempat asal iaitu di kabinet atas. Namun, pastikan ia dikeringkan dan dilap sebelum disusun di dalam kabinet bagi mengelakkan kabinet anda lembap dan rosak.

Bekas penyimpanan makanan

Simpan bekas penyimpanan plastik seperti tupperware, bekas pakai buang, sudu, plastik dan lain-lain di kabinet atas. Susun dan aturkan mengikut jenis dan saiz bagi memudahkan anda untuk mencarinya di lain hari. Anda juga boleh mengasingkannya dengan cara mengagihkannya ke dalam bakul besar supaya ia tidak bercampur dengan jenis yang lain. 

Apakah Item Yang Perlu Di Simpan Di Kabinet Bahagian Bawah:

Sementara untuk kabinet bawah pula adalah tempat yang baik untuk barangan bukan makanan seperti:

Peralatan dapur: 

Simpan peralatan dapur seperti pisau atau tempat pemotong di dalam kabinet bawah tepat di bawah kawasan kerja utama anda bagi memudahkan anda untuk mengakses dan mengambil semasa menyediakan makanan. Sekiranya anda menggunakan perkakas setiap hari, pertimbangkan untuk mengalihkannya ke kaunter kabinet anda.

silver utensils in drawer

Periuk dan kuali:

Simpan periuk dapur dan kuali anda di kabinet bawah. Letak secara terbalik bagi memudahkan anda untuk menyusun periuk lain di bahagian atas. Aturkan ruang penyimpanan kuali di bahagian yang paling dekat dengan rak pengeringan atau tempat mencuci pinggan untuk penyimpanan mudah.

Barang pencuci: 

Simpan barang pencuci atau produk pembersihan dapur anda di kabinet bawah, sebaiknya di bawah sink. Sekiranya anda mempunyai kanak-kanak kecil atau haiwan peliharaan, pastikan anda mengunci kabinet tersebut bagi menghalangnya daripada mudah dibuka oleh kanak-kanak. Elakkan daripada menyimpan produk pencuci di atas atau di rak yang sama sebagai barangan makanan.

________________________________________________________________________Berikut merupakan beberapa cara mudah yang boleh anda praktikkan bagi memastikan kabinet anda sentiasa kemas. Atur dan simpan barangan mengikut jenis dan kekerapan penggunaan agar tidak mudah berselerak dan senang untuk diakses. Elakkan daripada mencampur item dan barangan di dalam satu tempat kerana ia mungkin akan mengganggu tekstur atau bahan-bahan lain yang lebih mudah pecah atau fragile. Selamat mencuba!

Komen