Min Ahmad Diterbitkan 30 January 2024

Ketahui Perbezaan Antara Susu, Krim Susu Dan Krim Masakan?

Sekiranya anda gemar membeli barangan keperluan dapur dan menghabiskan masa di bahagian produk tenusu, anda akan mendapati terdapat pelbagai jenis produk tenusu yang dipamerkan.

Ada masanya anda akan berasa keliru, apakah kegunaan setiap satu produk tersebut? Apakah bezanya krim half-and-half, light cream, whipping cream, dan heavy cream dengan susu biasa? Berikut adalah perbezaan setiap produk tersebut dan kegunaannya.

Susu

Susu adalah produk tenusu yang paling kerap dijumpai di pasaran. Susu mengandungi kandungan protein berkualiti tinggi, tinggi dengan kandungan lemak serta mengandungi vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan. Susu mempunyai kategori tersendiri, iaitu:

Susu UHT : UHT bermaksud Ultra High Temperature. Ini kerana susu ini telah melalui proses pemanasan pada suhu sekitar 135°C-150°C selama 1-6 saat  untuk disterilkan. Ia mampu bertahan lebih lama di rak sebelum ia dibuka. Ia juga boleh didapati dalam beberapa jenis, iaitu:

  1. Susu Penuh Krim: mengandungi 35% lemak untuk setiap liter susu
  2. Susu Rendah Lemak: Mengandungi 1.5% hingga 1.8% lemak untuk setiap liter susu
  3. Susu Skim: Mengandungi kurang 0.5% lemak untuk setiap liter susu

Susu segar: Susu segar yang telah dipasteurkan pada suhu 72°C sekitar 15 saat. Ia mempunyai kadar kandungan lemak sekitar 4%. Di atas rak sebelum dibuka, ia hanya mampu bertahan sekitar seminggu.

Buttermilk

Buttermilk ialah produk sampingan dalam pembuatan mentega. Ia mengandungi 1-2% kandungan lemak dan kandungan nutrientnya adalah setanding susu.

Namun, ia lebih banyak digunakan dalam makanan seperti pembuatan pastri, penkek, kentang putar, waffle dan salutan untuk menggoreng. Ia lebih digemari kerana teksturnya yang tebal, menjadikan adunan lebih likat dan tidak cair berbanding susu. 

Krim Half-and-Half

Krim half-and-half mempunyai kandungan lemak sekitar 12%. Seperti namanya, krim half-and-half terdiri daripada separuh bahagian susu dan separuh bahagian light cream. Ia sering digunakan digunakan untuk membuat minuman (terutamanya kopi dan minuman bercoklat), pasta berkrim, ganache coklat untuk kek. 

Sekiranya anda sukakan pencuci mulut panna cotta atau gemarkan susu di dalam minuman anda, krim half-and-half adalah pilihan terbaik berbanding susu kerana ia memberikan rasa yang lebih berkrim dengan tekstur yang lebih tebal. 

Light Cream

Light cream mengandungi 20% kandungan lemak.  Krim ini turut dipasarkan sebagai cooking cream. Ia tidak mengandungi kandungan lemak yang cukup yang membolehkan ia diputar menjadi krim.

Namun ia adalah pilihan yang terbaik untuk dihidangkan bersama-sama sup yang berkrim, buah-buahan segar atau pencuci mulut seperti kek keju tanpa bakar, shortcake, brittle atau crumbles di akhir penyediaan.

Anda juga boleh mencampurkannya di dalam minuman sekiranya anda inginkan rasa yang lebih kaya berkrim berbanding half-and half.

Whipping Cream

Turut dikenali sebagai krim putar, whipping cream mengandungi antara 30-35% kandungan lemak dan turut dilabelkan sebagai thickened cream.

Bukan sahaja sesuai digunakan dalam pembuatan kek dan pai, ia juga sesuai digunakan di dalam masakan kerana kandungan lemak yang tinggi menyebabkan ia tidak pecah minyak apabila dipanaskan.

Heavy Cream

Kandungan lemak heavy krim adalah sekitar 38%. Kerana perbezaan yang sedikit berbanding whipping cream, anda juga boleh menggunakan heavy krim untuk menggantikan whipping cream, dan sebaliknya.

Namun begitu, lebih tinggi kandungan lemak di dalam krim tersebut, lebih tebal teksturnya dan lebih mudah ia untuk ia diputarkan untuk menjadi krim. Oleh yang sedemikian, heavy krim lebih sesuai dijadikan aising, custard, serta dicampurkan ke dalam sup ala barat yang berkrim.