Carian
Ingin Lebih Fokus? Cuba Kaedah Ini
April 15, 2020 Min Ahmad

Ingin Lebih Fokus? Cuba Kaedah Ini

Hidup di zaman sekarang yang serba canggih, agak sukar untuk kita kekal fokus dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Namun begitu, kebolehan untuk fokus bukanlah superpower. Ia boleh dibentuk dengan kaedah yang betul.

Sebelum kita pergi ke kaedah untuk anda menjadi lebih fokus, mari kita ketahui lebih lanjut mengenai fokus. Fokus terbahagi kepada dua jenis, iatu fokus tersebar (scattered focus) dan fokus terarah (directed focus). 

Fokus tersebar ialah apabila anda cuba melakukan pelbagai aktiviti dalam masa yang serentak, seperti membuat kertas kerja sambil berbual di telefon dan pada masa yang sama cuba mencari dokumen di dalam folder komputer anda. Kaedah ini memerlukan otak anda untuk “switch dan load” konteks pekerjaan yang sedang anda laksanakan. Kekerapan otak anda untuk “switch, load dan re-load” berulang-ulang kali menjadikan anda minda anda penat. Bayangkan anda menggunakan telefon sambil bertukar-tukar 3-4 applikasi pada masa yang sama, ini sudah tentu akan menyebabkan bateri telefon anda berkurangan pada kadar yang laju. Begitu jugalah dengan minda kita.

Kebanyakan orang berasakan dengan melakukan pelbagai tugasan pada waktu yang sama, mereka dapat menyelesaikan tugasan pada masa yang singkat. Namun kebenarannya adalah jauh berbeza daripada ap yang disangka. Disebabkan anda tidak fokus dalam melaksanakan satu-satu tugasan, anda akan mengambil masa yang lebih lama untuk menyiapkan tugasan tersebut. Malahan anda hanya membazir tenaga sahaja. 

Fokus terarah pula apabila anda mengarahkan tenaga dan tumpuan anda untuk melaksanakan satu tugasan pada satu masa sambil mengabaikan perkara-perkara lain yang boleh melalaikan. Kaedah ini membolehkan anda menyiapkan tugasan pada masa yang lebih singkat dengan hasil yang optimum. Kedengaran seperti sukar untuk dilaksanakan namun cuba kaedah berikut untuk mendapatkan fokus yang terarah:

 

Hapuskan Sebarang Bentuk Gangguan

Ada banyak benda yang mengganggu perhatian kita dalam melaksanakankan sesuatu. Antara penyumbang terbesar ialah telefon. Telefon pintar zaman kini dipenuhi pelbagai applikasi yang melalaikan. Itu belum lagi platform media sosial yang membuatkan kita alpa. Cara terbaik ialah menyimpan telefon pintar di tempat di mana ia tidak akan mencuri perhatian anda, seperti di dalam laci atau jauh dari pandangan mata sementara anda melaksanakan tugasan anda.

Sekiranya anda tidak mudah tergoda dengan notifikasi telefon pintar namun persekitaran sekeliling yang bising mengganggu anda untuk fokus, anda boleh memakai fon kepala dengan pembatalan hingar. Anda juga boleh memasang muzik yang boleh membantu anda untuk fokus.

 

Utamakan Penjagaan Diri

Agak sukar untuk fokus apabila anda berasa pada keadaan yang letih. Oleh yang sedemikian, dapatkan tidur yang cukup 7 hingga 8 jam setiap malam. 

Anda juga disarankan untuk membuat senaman ringan. Regangan dan pergerakan setempat untuk 10 minit, 2 hingga 3 kali sehari sudah memadai. Senaman membantu badan untuk menghasilkan dophamine, norepinephrine, serotonin dan neurotransmitter lain yang boleh meningkatkan kemampuan minda untuk lebih fokus. Tambahan pula, kehadiran neurotransmitter ini dapat meningkatkan kemampuan anda untuk menyelesaikan tugasan yang lebih sukar dan mencabar.

Hidrasi juga mempengaruhi kemampuan anda untuk berfikir dengan jelas. Minum air pada kuantiti yang disarankan agar minda anda kekal. Pengambilan makanan yang tinggi dengan gula pula mampu mengkibatkan “brain fog” yang mengganggu anda untuk fokus.

 

Berlatihlah Untuk Fokus

Fokus ialah kebolehan yang boleh dibentuk, sama seperti kemahiran lain seperti menjahit, memasak dan melukis. Semakin kerap anda berlatih untuk fokus, semakin baik daya fokus anda. Pada awalnya, anda mungkin hanya boleh fokus selama 10 minit sebelum perhatian anda terganggu. Namun dengan latihan yang konsisten setiap hari, kemampuan anda untuk fokus akan bertambah baik, dan anda akan mendapati masa yang anda luangkan untuk fokus dalam melaksanakan sesuatu tugasan meningkat.

 

Pilihlah Waktu Yang Sesuai

Masa yang terbaik untuk anda fokus ialah sejam selepas anda bangun. Pada waktu ini, minda anda berada pada keadaan paling optimum memandangkan anda sudah cukup berehat dan minda anda tidak tertanggu dengan perkara-perkara yang boleh mengganggu konsentrasi. Bangun awal agar anda dapat memanafaatkan pagi anda untuk fokus melaksanakan tugasan yang ingin anda lakukan.

Bagaimana sekiranya anda sibuk di pagi hari dan masa yang ada anda ialah waktu tengahari? Ini ialah waktu yang mencabar memandangkan menjelang tengahari, minda anda sudahpun berstimulasi dengan pelbagai aktiviti dan ia terisi dengan pelbagai perkara yang mungkin boleh mengganggu konsentrasi anda untuk menjalankan tugasan. Namun begitu anda boleh trick minda anda agar ia boleh kembali fokus. Cara paling mudah untuk reset minda anda ialah dengan berjalan melihat permandangan sekeliling, bermeditasi ataupun tidur seketika selama 15 minit. Aktiviti ini menyahstimulasikan minda anda dan membolehkan anda kembali fokus untuk melaksanakan sesuatu tugasan. 

 

Berehat Seketika Di Antara Tugasan

Berehat bukan sahaja membantu untuk anda reset minda, ia juga dapat membantu anda untuk kekal fokus dengan lebih lama. Fokus bagaikan aktiviti berlari untuk minda, ia memenatkan. Namun apabila anda berehat seketika, kemampuan anda untuk fokus selepas itu ditingkatkan kerana berehat membolehkan minda anda “recharge”. Elakkan melihat telefon, menonton televisyen atau bermain permua ketika waktu berehat tersebut kerana aktiviti ini akan menstimulasikan minda dan tidak membolehkan anda berehat.

 

Gunakan Teknik Pomodoro Untuk Lebih Fokus

Teknik Pomodoro adalah seperti berikut:

  1. Tetapkan tugasan yang ingin anda laksanakan dan senaraikannya di atas kertas.
  2. Buat tetapan masa pada penggera masa (25 minit, anda boleh menetapkan masa yang lebih lama mengikut tahap kesukaran tugas dan kemampuan anda untuk fokus).
  3. Lakukan tugasan tersebut.
  4. Berhenti melakukan apabila penggera berbunyi, tandakan tugasan yang telah anda laksanakan.
  5. Sekiranya anda mempunyai kurang daripada 4 tugasan yang telah dilaksanakan, berehat selama 3-5 minit dan kemudian kembali ke langkah nombor 2.
  6. Selepas melaksanakan langkah 2-5 sebanyak 4 kali, berehat untuk tempoh yang lebih panjang antara 15-30 minit. Reset tandaan tugasan anda kembali ke langkah 1
Komen