Baju Tidak Bersih – Cara Penggunaan Mesin Basuh Yang Salah?
Elakkan 5 perkara ini sewaktu mencuci dan membasuh pakaian menggunakan mesin basuh anda. Hal ini adalah untuk memastikan mesin basuh anda tidak overloaded atau terlebih muatan selain membantu mengelakkan pakaian anda rosak, stokin kaki hilang dan lain-lain kerosakan lain pada mesin.
Mengisi pakaian di mesin terlalu penuh
Untuk mendapatkan hasil pembersihan pakaian yang baik dan benar-benar bersih, elakkan dari membasuh semua baju pada satu masa. Mesin basuh yang dipenuhi pakaian tidak akan mempunyai ruang membersih yang mencukupi untuk membolehkan bahan pencuci bergerak sewaktu membasuh. Oleh itu, akan terdapat beberapa kotoran yang toidak dapat dibersihkan.
Sekiranya pakaian anda terlalu sedikit, anda hanya akan membazir tenaga dan air. Tetapi apabila pakaian berlebihan pula, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah lain termasuk zip, butang serta aksesori lain pada pakaian akan tertanggal atau melekat pada pakaian yang lain.
Mencampurkan pakaian yang berlainan jenis kain dan warna
Apabila anda mengasingkan pakaian mengikut kategori, pakaian anda akan dibersihkan dengan cara yang betul.
The more you sort the laundry, the fresher your clothes. – Martha Stewart Living
Oleh itu, pisah dan asingkan pakaian yang sangat kotor daripada pakaian yang sederhana kotor yang lain. Anda juga perlu membersihkan mengikut jenis kain supaya pakaian anda tidak rosak. Sebagai contoh, asingkan kain yang berat atau kasar seperti denim daripada kain yang lebih halus seperti kain sutera, selendang atau kemeja.
Untuk denim, anda boleh menterbalikkan kain ke dalam, basuh dengan air sejuk dan keringkan pada suhu rendah untuk mengelakkan pudar.
Meletakkan sabun pencuci secara langsung pada pakaian
Percaya atau tidak, untuk pengedaran pencuci yang baik serta pakaian yang lebih bersih, letakkan pakaian yang hendak dicuci terlebih dahulu, kemudian tambahkan air dan akhir sekali masukkan sabun. Pastikan anda menggunakan sabun pencuci pakaian yang selamat untuk mengelakkan ia menghakis pakaian dan baju anda.
Jika anda menggunakan peluntur, tambahkan air terlebih dahulu, kemudian pakaian dan sabun. Pastikan anda memeriksa tanda pada pakaian anda dan mengikuti kaedah pembersihan yang disarankan.
Mencampurkan stokin dengan pakaian
Pernahkan anda hilang satu belah stokin sewaktu mencuci pakaian? Oleh itu, untuk mengelakkan daripada berlaku sedemikian, cuba letakkan stokin di mesin basuh terlebih dahulu, kemudian tambahkan yang lain. Dengan ini, ia tidak akan bercampur dengan yang lain sekaligus stokin anda akan dicuci dengan lebih bersih.
Membiarkan zip pakaian terbuka
Zip yang terbuka akan merosakkan pakaian yang halus. Pastikan zip pada pakaian anda dizip dengan betul sebelum anda memasukkannya ke dalam mesin. Selain itu, asingkan pakaian dalam anda di dalam beg yang berlainan supaya ia tidak menarik kain atau merosakkan pakaian lain.
Sementara untuk butang baju pula, ia perlu dilakukan sebaliknya. Jika zip perlu dirapatkan, namun untuk butang ia harus dibuka. Mencuci baju dengan butang yang dikancing boleh merosakkan butang sekaligus menyebabkan lubang butang koyak.
________________________________________________________________________
Setiap pencucian adalah berbeza mengikut jenis kain, tahap penggunaan pakaian dan banyak lagi. Melakukan cara pembersihan yang betul bukan sahaja dapat mengurangkan risiko mesin basuh rosak, malah ia membantu anda dalam menyusun pakaian anda dengan lebih baik mengikut kategori. Selamat mencuba!