Dalam kita mengharungi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, Ramadan kini sekali lagi berkunjung tiba. Ada yang mempunyai masa terluang dalam tempoh ini dan ingin mencuba menu baru, inilah masanya.
Murtabak Maggi adalah hidangan ringkas boleh anda sediakan sebagai juadah sahur. Sesuai buat anda yang inginkan kelainan daripada menjamah nasi semata-mata. Ia mempunyai kandungan karbohidrat, protein dan serat yang melengkapi keperluan badan seperti yang disarankan dalam piramid makanan agar badan anda bertahan sepanjang hari berpuasa. Selain itu ia mudah dimasak.

Berikut adalah resepinya:
Kandungan kalori: 722 kcal
Tempoh penyediaan bahan-bahan: 5-10 minit
Tempoh memasak: 15-20 minit
Saiz hidangan: 2 orang
Bahan-bahan:
- 1 bungkus mi segera Maggi perisa kari
- 3-4 biji telur ayam (sekiranya menggunakan telur gred A, 3 biji sudah mencukupi)
- Daging cincang/ isi ayam (sekiranya mahu)
- 1/2 biji bawang besar dihiris (bawang Holland lebih sesuai)
- 3 biji bawang putih dihiris
- Cendawan secukupnya (boleh menggunakan cendawan dalam tin atau cendawan tiram)
- Sayuran lain yang anda gemar (cadangan: lobak merah, capsicum, putik jagung, daun bawang)
- Keju (sekiranya mahu)
- 1 sudu teh sos tiram
- Garam dan serbuk lada hitam kasar sebagai perasa
- Minyak untuk menumis
Cara penyediaan:
- Rebus mi segera Maggi selama 2 minit. Toskan air dan ketepikan.
- Di dalam kuali, tumis bawang besar, bawang putih dan daging cincang/ isi ayam (sekiranya anda menggunakannya) sehingga bawang lembut dan daging/ ayam itu masak. (nota: saya tidak menggunakan daging/ ayam)
- Tambahkan sayur-sayuran ke dalam kuali. Tumis sehingga sayur lembut. menumis sayur-sayuran menjadikannya ia berasa manis dan lembut.
- Tambahkan sedikit garam dan serbuk lada hitam kasar. Matikan api dan ketepikan.
- Di dalam mangkuk lain, pukul telur dengan serbuk perencah kari Maggi dengan sos tiram sehingga sebati. Kerana kedua-dua bahan perasa ini sudah pun masin, anda boleh skip penggunaan garam.
- Satukan mi segera, sayur yang ditumis, keju dan separuh sebatian telur yang dipukul.
- Tuang ke dalam kuali dengan minyak yang telah dipanaskan. Tuangkan lebihan telur ke atas campuran Maggi tersebut.
- Semasa memasak, tutup kuali untuk membolehkan lapisan atas telur menjadi kental. Langkah ini juga mampu mengurangkan tempoh memasak.
- Selepas lapisan bawah masak, terbalikkan dan masak untuk selama 1-2 minit
- Murtabak Maggi kini siap dimasak dan sedia hidangkan untuk dinikmati.
Selamat menunaikan ibadah puasa buat kesemua pembaca Tajria yang beragama Islam di mana jua anda berada. Ramadan Kareem.