Tidak dinafikan menjelang Ramadan, pasti pelbagai juadah enak dan hidangan yang menyelerakan akan disediakan sewaktu iftar nanti. Namun, pasti ada dalam kalangan anda yang masih mencari-cari lagi hidangan yang ingin dimasak sebagai lauk berbuka puasa
Oleh itu, Tajria hari ini akan membawakan kepada anda menu untuk iftar nanti yang dinamakan Daging Masak Hitam. Berikut adalah senarai bahan-bahan dan cara penyediaan mudah untuk anda ikuti. Selamat mencuba!

Bahan-bahan A
- 3 biji bawang merah atau 1 biji bawang Holland (dihiris kasar)
- 3 ulas bawah putih (dititik dan hiris)
- 5-6 tangkai cili api (dihiris)
- Halia dan kunyit hidup (dihiris)
Bahan-bahan B
- 250 gram daging (potong kasar)
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- Kicap pekat
- Garam secukup rasa
Cara Penyediaan:
- Panaskan minyak dan goreng daging dengan api yang perlahan. Ini bagi mendapatkan tekstur garing di luar tetapi empuk dan lembut di dalam. Selain mengoreng daging, anda juga boleh merebus daging terlebih dahulu sebelum ditumis bersama bawang
- Sementara menunggu daging masak, anda boleh menghiris kesemua bahan-bahan A.
- Setelah warna daging kelihatan coklat keperangan, angkat daging dan letakkan di mangkuk yang berasingan. Biarkan sejuk seketika sebelum mula menghiris daging.
- Jangan risau jika bahagian daging anda masih kelihatan sedikit merah kerana daging tersebut akan dimasak sekali lagi bersama bahan yang lain.
- Setelah selesai, tumis kesemua bahan A sehingga naik bau. Masukkan daging yang telah dihiris dan biarkan ia masak selama 3 minit.
- Masukkan serbuk kunyit dan kicap pekat untuk warna yang lebih menarik.
- Akhir sekali masukkan garam dan gaul sekata. Biarkan masak selama 1 minit dan daging masak hitam anda sedia untuk dihidangkan. Selain daging, anda juga menukar menu dengan ayam dan ikan juga. Selamat menjamu!