Di beberapa kawasan di Malaysia sejak beberapa hari ini, Ramadan dilalui dalam cuaca yang mendung dan hujan dengan kerap. Cuaca sebegini sesuai untuk masakan yang berempah yang mampu memanaskan badan.
Maka hari ini, kami di Tajria bercadang untuk berkongsi dengan anda resepi kari daging untuk menu berbuka. Resepi ini telah diringkaskan untuk anda cuba di rumah. Selain enak dimakan dengan nasi panas waktu berbuka, anda boleh menjamah hidangan ini dengan roti untuk santapan waktu sahur.

Berikut adalah resepinya:
Kandungan kalori: 130 kcal (satu hidangan 90g lauk tanpa nasi)
Tempoh penyediaan bahan-bahan: 10 minit
Tempoh memasak: 50 minit
Saiz hidangan: 3-4 orang
Bahan-bahan:
- 300 gram daging dihiris nipis
Bahan tumis:
- 1 biji bawang besar, dihiris nipis*
- 5 ulas bawang putih, dihiris nipis*
- 1 1/2 inci halia, dihiris nipis*
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 5 buji buah pelaga
- 5 biji cengkih
- 1 batang serai diketuk
- 3 tangkai daun kari
Bahan tumisan kari:
- 3 sudu besar serbuk kari daging
- 1 sudu besar serbuk cili
- 1 sudu serbuk ketumbar dan jintan manis
- 1 sudu teh serbuk kunyit
Bahan renihan:
- 1 sudu besar pes asam jawa/ 3 keping asam keping
- 5 cawan air
- 3 biji kentang dibelah 4
- 1/2 batang lobak merah dipotong bulat
- 1 cawan santan pekat
- Kerisik sekiranya ada
- Sedikit gula melaka sebagai perasa
- Garam secukupnya
Anda boleh kisar bahan bertanda * sekiranya mahu, namun bahan yang dikisar akan mengambil masa memasak yang lebih lama
Cara penyediaan:
- 1. Tumis bawang besar, bawang putih, halia, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan cengkih sehingga harum.
- Selepas bawang sedikit layu, masukkan daun kari dan serai
- Masukkan serbuk tumisan kari dan tumis sehingga wangi kari tersebut pudar
- Masukkan daging dan tumis selama 5 minit sehingga hilang warna kemerah-merahan daging.
- Tambahkan sedikit air dahulu ke dalam periuk dan gaulkan sebati dengan bahan tumisan. Masukkan kentang dan lebihan air.
- Sekiranya anda menggunakan pes asam jawa, campurkannya dengan air sebelum ditambah ke dalam periuk. Namun sekiranya anda menggunakan asam keping, anda boleh memasukkannya ke dalam masakan selepas air di tambah.
- Tutup periuk dan renih selama 20 minit sehingga daging dan kentang empuk.
- Setelah daging empuk, masukkan santan. pada ketika ini, air akan berkurangan 1/4 hingga 1/2 daripada kandungan asal. Tambahkan sedikit air sekiranya anda inginkan kuah kari yang lebih.
- Perasakan dengan garam, gula melaka dan kerisik. Renih untuk 15 minit lagi sehingga santan masak dan kuah menjadi sedikit pekat.
- Hidangkannya bersama 2 senduk nasi putih (total kalori hidangan: 330kcal)
Selamat mencuba!