Bolehkah Anda Minum Kopi Ketika Sakit?
Adakah anda tertanya-tanya sama ada kopi akan memberi kesan kepada tubuh jika diminum sewaktu sakit atau tidak?
Ada pendapat yang mengatakan meminum kopi sewaktu sakit tidak memberikan apa-apa kesan selain tidak mengganggu prestasi atau pemulihan anda. Satu cawan kopi semasa anda sakit dapat membantu mendorong sistem ketahanan badan anda semasa melawan penyakit. Namun adakah ia benar?
Kopi merupakan salah satu jenis minum berkafein yang mana jumlah kafein adalah berbeza untuk setiap kopi yang anda minum. Jumlah kafein yang hadir bermula dari 0mg sehingga lebih dari 500mg. Secara purata, secawan kopi mempunyai antara 95 sehingga 180mg kafein.
Sebenarnya, ada kebaikan dan keburukan minum kopi ketika anda sakit. Dalam beberapa cara, ia dapat menghalang kemampuan tubuh anda untuk bangkit kembali. Tetapi kopi juga mempunyai beberapa sifat yang dapat membuat bertenaga untuk bangun dan berjalan, jadi ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan sama ada anda boleh terus minum minuman kegemaran anda.
Kopi membuatkan anda berasa lebih bertenaga
Bagi banyak penggemar kopi, peningkatan tenaga yang dirasakan ini adalah salah satu faedah utama kopi, dan juga salah satu sebab anda boleh memilih untuk meminumnya ketika anda sakit. Ia juga dapat menjadikan anda lebih segar jika anda merasa lesu atau lelah tetapi masih cukup sihat untuk pergi bekerja atau sekolah. Selain itu, jika anda menghadapi selesema ringan, kopi dapat membantu anda sepanjang hari tanpa menimbulkan kesan sampingan yang ketara.
Kopi menyebabkan cirit-birit
Kopi juga boleh memberi kesan negatif. Kafein dalam kopi mempunyai kesan diuretik, yang mana ia akan mengeluarkan cairan dari badan sama ada melalui air kencing atau najis anda.
Untuk sesetengah individu pula, pengambilan kopi boleh menyebabkan dehidrasi akibat cirit-birit atau kencing yang berlebihan. Walau bagaimanapun, sebilangan penyelidik menyatakan bahawa pengambilan kafein pada tahap sederhana iaitu sebanyak 2 atau 3 cawan kopi sehari tidak memberi kesan pada keseimbangan cecair anda.
Beberapa contoh minuman yang lebih menghidrat termasuk jus buah dan minuman elektrolit (sports drink)
Namun, jika anda penggemar kopi biasa, anda mungkin dapat terus minum kopi tanpa peningkatan risiko dehidrasi ketika anda sakit.
Kopi boleh merengsakan gastrik ulser
Kopi adalah sejenis minuman berasid yang boleh menyebabkan kerengsaan perut atau mengalami masalah pencernaan pada sesetengah individu. Namun, tiada hasil penyelidikan yang kukuh dalam menghubungkan antara pengambilan kopi dan gastrointestinal yang berkaitan.
Sekiranya anda menyedari bahawa kopi boleh menyebabkan keburukan pada perut anda, anda harus menjauhinya atau beralih ke minuman sejuk yang kurang berasid.
Interaksi kopi dengan ubat-ubatan
Kafein dapat menguatkan kesan ubat seperti pseudoephedrine (Sudafed), yang sering digunakan untuk membantu mengurangkan selesema. Sama juga seperti antiobiotik. Untuk perkara ini, anda harus berbincang dengan pakar kesihatan sebelum memilih untuk minum kopi dengan ubat-ubatan ini.
Pengambilan kopi secara sederhana tidak berbahaya pada individu yang sihat, namun komplikasinya sewaktu sakit adalah tidak jelas dan perlu dijauhi jika anda mengambil ubat-ubatan.
________________________________________________________________________
Kesimpulannya, adalah lebih baik jika anda minum kopi pada waktu dan keadaan yang sesuai. Anda juga mungkin perlu mengehadkan pengambilan kopi apabila kesihatan anda berada pada paras yang tidak memuaskan.
Namun, harus diingatkan kesan kafein masih berlaku walaupun anda berada dalam keadaan sihat. Kopi akan meningkatkan tekanan darah dan degupan jantung, memberi kesan kepada kualiti tidur anda serta tindak balas yang lebih agresif. Berhati-hatilah dengan pengambilan kafein anda