Seperti biasa, menu dari Dapur Ramadan Tajria hari ini adalah Terung Balado. Resepi ini sememangnya sudah tidak asing lagi untuk penggemar masakan Indonesia dan juga individu yang suka makanan yang pedas.

Oleh itu Tajria hari ini akan membawakan menu balado ini untuk anda cuba sewaktu berbuka puasa nanti. Berikut adalah senarai bahan masakan yang diperlukan dan juga cara penyediaan untuk hidangan Terung Balado.

Bahan-bahan

  • 2 batang terung
  • 8 batang cili api
  • 3 biji bawang merah
  • 3 biji bawang putih
  • ikan bilis
  • garam secukup rasa
  • gula

Cara Penyediaan

1. Tumbuk atau kisar bawang merah, bawang putih, cili api dan ikan bilis separuh hancur. Kemudian potong terung memanjang atau ikut mana-mana pilihan anda. 

2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi. Tumis sehingga ia naik bau dan kelihatan garing.

3. Kemudian, masukkan satu sudu gula dan garam mengikut citarasa anda.

4. Apabila sudah digaul rata, masukkan terung dan masukkan sedikit air untuk membantu melembutkan terung.

5. Kecilkan api dan biarkan terung balado anda di atas api sehingga warna terung kelihatan pudar. Jika terung sudah lembut, matikan api dan ia sedia untuk dihidangkan. 

Selain masukkan air dan biar ia di atas api untuk jangka masa yang lama, anda juga boleh membakar terung tersebut sehingga ia lembut. Kaedah ini adalah lebih cepat selain tidak menyebabkan bahan tumisan anda menjadi kering. Selamat mencuba!

Lihat profil
Lina Rosli

401 artikel di Tajria.