Lina Rosli Diterbitkan 29 April 2020

Sambal Tumis Udang – Resepi Memikat Hati Sendiri

Lain orang lain cara yang mana ia akan menampilkan kelebihannya yang tersendiri. Itulah sambal. Untuk saya sendiri, saya menggemarkan sambal yang sedikit pedas tapi manis dan masin dihujung rasa. Tidak kira untuk ikan, udang dan juga sotong.

Sambal tumis ini pasti memiliki tempat di hati setiap individu. Oleh itu, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda cara menyediakan Sambal Tumis Udang versi Johor. Berikut adalah beberapa bahan yang diperlukan serta cara penyediaan mudah yang boleh anda cuba.

Bahan-bahan A (Dikisar halus)

  • 3-4 senduk lada kering (yang telah digunting dan direndam dengan air panas) atau anda juga boleh menggunakan cili boh yang ada di mana-mana pasaraya atau kedai runcit
  • 4 biji bawang merah
  • 3 biji bawang putih
  • sedikit belacan

Bahan-bahan B

  • 300g udang (Telah dibersihkan. Anda juga boleh memilih untuk menanggalkan kulit atau membuang kepala udang.) 
  • air asam jawa atau boleh juga menggunakan asam jawa xtra
  • 2 sudu gula
  • garam secukup rasa

Cara Penyediaan

  1. Kisar kesemua bahan-bahan A, iaitu lada kering, bawang merah, bawang putih dan juga belacan sehingga halus.
  2. Panaskan minyak pada api yang sederhana dan mula menumis bahan-bahan A. Pastikan anda tumis sehingga sambal tersebut naik minyak.
  3. Setelah 5 hingga 6 minit menumis, masukkan air asam jawa ke dalam sambal.
  4. Kemudian, masukkan gula dan garam. Gaul dan tumiskannya sekitar 3 minit. Apabila warna sudah menjadi lebih gelap, masukkan udang yang telah dibersihkan. Biarkan ia masak sehingga warna udang menjadi merah dan isinya sudah tidak lembik.
  5. Anda juga boleh masukkan hirisan bawang untuk aroma yang lebih memikat hati. Selamat mencuba!

Untuk cara lain, anda juga boleh memasak udang terlebih dahulu sebelum mencampurkannya ke dalam sambal. Ia juga boleh membuatkan sambal tumis anda tahan lebih lama.