Bagaimana Untuk Kekal Fokus Dalam Kelas Atas-Talian?
Pembelajaran secara atas talian atau online learning boleh dikatakan agak mencabar. Ia memerlukan tahap fokus dan komitmen yang tinggi untuk mengikuti pelan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dirancang oleh guru atau pensyarah anda.
Terdapat kelebihan dan kekurangan dalam menjalani kelas secara atas-talian. Antara kelebihannya termasuk gaya P&P yang lebih santai serta dapat diakses tanpa perlu menghadiri kelas fizikal.
Walau bagaimanapun, kelas atas-talian juga mempunyai cabaran yang perlu anda tempuhi seperti sambungan internet yang terhad serta suasana pembelajaran yang tidak kondusif yang mana akan menimbulkan ketidakselesaan sekaligus mengganggu fokus anda untuk belajar.
Oleh itu, dengan kelebihan dan kekurangan yang ada, mari kita lihat beberapa tips yang mungkin boleh anda ikuti untuk memastikan anda mendapat nilai maksimum dari kelas atas-talian yang disediakan.
Maklumkan kepada ibubapa atau ahli keluarga yang lain tentang kelas anda
Beritahu kepada ibubapa atau adik beradik yang lain agar tidak mengganggu anda semasa kelas berlangsung. Sediakan jadual waktu dan jadual kelas anda supaya orang lain peka. Dengan ini, anda boleh kekal fokus dan dapat memberikan sepenuh perhatian sewaktu sesi pembelajaran belangsung.
Sediakan ruang yang bersesuaian
Untuk kekal fokus sewaktu kelas, anda perlu mempunyai ruang yang selesa, tenang dan sesuai untuk belajar. Sebaik-baiknya, elakkan tempat yang ramai orang seperti di dalam bilik tidur atau ruang yang kurang gangguan.
Pastikan ruang tersebut mempunyai pengudaraan dan kapasiti cahaya yang mencukupi. Selain itu, pastikan anda duduk di atas kerusi bagi mendapatkan postur duduk yang baik.
Letakkan telefon bimbit atau gajet-gajet lain di tempat yang jauh dari mata anda
Tidak kira di mana anda memilih untuk menghadiri kelas atas-talian, letakkan barangan seperti telefon bimbit, tablet dan lain-lain (jika anda menggunakan komputer) di tempat yang jauh dari mata anda. Hal ini bagi mengelakkan anda dari hilang fokus setiap kali melihat paparan notifikasi yang muncul. Anda juga boleh mematikan notifikasi yang cenderung untuk menarik perhatian anda seperti Whatsapp, Instagram, Facebook dan Twitter.
Gunakan konsep dan teknik membuat nota yang sesuai
Setelah anda menentukan di mana anda akan belajar, fikirkan tentang bagaimana untuk membuat nota sewaktu pembelajaran berlangsung. Kadangkala kaedah note-taking yang tidak bersesuaian turut akan mengganggu perhatian anda.
Tidak semua orang belajar dengan cara yang sama, jadi fikirkan jenis maklumat yang membantu anda memahami konsep baru dan menggunakan strategi kajian yang relevan. Sekiranya anda seorang pelajar visual, anda boleh mencetak nota kuliah dengan rajah sebagai persediaan kelas. Atau sekiranya anda lebih memilih untuk mendengar, anda boleh mencari audio atau video nota bagi mendapat idea awal tentang sesuatu topik sebelum kelas berlangsung.
Peruntukkan masa rehat
Selepas selesai sesi pembelajaran, peruntukan sedikit waktu untuk anda merehatkan minda atau mengurangkan tekanan belajar. Anda boleh luangkan masa melakukan aktiviti santai bersama ahli keluarga supaya dapat memberi ruang dalam pertumbuhan emosi positif. Aktiviti mudah seperti menonton televisyen bersama atau bermain teka-teki dan permainan board juga sedikit sebanyak boleh menambah seri di dalam hubungan kekeluargaan anda.
________________________________________________________________________
Selagi anda mempunyai sumber dan cara yang bersesuaian, pastinya pembelajaran secara atas talian dapat dilaksanakan dengan jayanya. Untuk memastikan anda kekal fokus dan memberi sepenuh perhatian di dalam kelas, ikuti beberapa tips di berikut bagi memperoleh manfaat walaupun dalam masa-masa sukar ini.