Carian
#DapurRamadanTajria – Sambal Telur
April 30, 2020 Min Ahmad

Bagi sesetengah orang, tak sempurna hidangan berbuka tanpa sedikit makanan pedas. Sambal telur adalah kegemaran saya sejak kecil lagi.

Ia tidak terlalu pedas dan kanak-kanak juga boleh menikmatinya. Ada pelbagai jenis sambal telur, ada yang menggunakan telur goreng dan telur rebus. Resepi yang saya kongsikan ini adalah sambal telur versi yang saya pelajari dari ibu saya. Mari kita lihat:

Kandungan kalori: 280 kcal (untuk 4 biji telur)

Tempoh penyediaan bahan-bahan: 10 minit 

Tempoh memasak: 25 minit

Saiz hidangan: 2 orang

Bahan-bahan:

  • 4 biji telur
  • 1 biji bawang besar dipotong 4 dan dihiris tebal
  • 5 ulas bawang putih diketuk
  • Cili kisar 5 sudu besar
  • Segenggam ikan bilis
  • 1 1/2 cawan air
  • 1 sudu teh pes asam jawa/ 3 keping asam keping
  • Secubit belacan
  • Garam secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Cara penyediaan:

  1. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga layu.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga terbit minyak daripada tumisan tersebut.
  3. Masukkan air, pes asam jawa/ asam keping, belacan dan ikan bilis.
  4. Biarkan sambal mendidih seketika. Rasakannya dengan garam.
  5. Apabila sambal mendidih, pecahkan telur. Sekiranya berasa ragu-ragu, pecahkan ke dalam mangkuk dahulu dan tuangkan kedalam sambal satu per satu.
  6. Dalam 5-7 minit, setelah sebahagian daripada telur mula mengeras, terbalikkannya dengan hati-hati untuk mengelakkan telur hancur.
  7. Teruskan memasak untuk selama 5 minit lagi sehingga telur di bahagian yang telah diterbalikkan masak.
  8. Tutup api dan ia bolehlah dihidangkan dengan nasi panas untuk berbuka.

Selamat mencuba!

Komen