Kenapa Kucing Tertarik Kepada Laser?
Pernah tak anda perasan bahawa kucing amat tertarik dengan lampu kecil berwarna merah atau lebih dikenali sebagai laser? Apabila anda menyuluh cahaya laser di lantai, kucing akan menjadi aktif dan terus mengejar cahaya tersebut.
Mengapa hal ini berlaku? Laser secara semulajadi akan merangsang kucing untuk bertindas balas. Di mata kucing, cahaya laser seakan mangsa yang bergerak pantas. Mereka akan mentafsirkannya sebagai haiwan kecil yang cuba untuk berlari dan bersembunyi.
Seperti haiwan pemburu yang lain, kucing juga mempunyai keinginan untuk bermain, memburu dan menerkam haiwan yang menarik perhatiannya. Jadi, tindak balas kucing terhadap laser adalah secara automatik bukan berdasarkan akal.
Terdapat faktor lain juga mengapa kucing anda mengejar laser. Antaranya termasuk pergerakan dan warnanya yang kelihatan menarik di mata kucing. Untuk mengetahui dan memahami mengapa kucing beranggapan sedemikian, ia adalah disebabkan oleh jenis mata kucing yang mempunyai lebih banyak rod berbanding kon.
Rod dan kon adalah fotoreseptor yang terdapat di retina. Rod bertanggungjawab untuk penglihatan periferal dan waktu malam. Ia akan mengesan kecerahan dan warna kelabu. Sementara kon pula bertanggungjawab untuk penglihatan siang hari dan persepsi warna. Oleh yang demikian, kucing lebih tangkas terhadap pergerakan walaupun sedikit berbanding manusia.
Bolehkan laser dijadikan alat permainan untuk kucing?
Jawapannya adalah boleh. Namun, anda harus mengikuti langkah keselamatan yang betul untuk mengelakkannya daripada mencederakan kucing anda semasa bermain. Pastikan anda tidak memancarkan cahaya laser terus pada mata kucing. Hal ini kerana ia boleh menyebabkan masalah penglihatan atau kecederaan mata.