Baru-baru ini saya anda cuba untuk membuat satu hidangan tambahan untuk menu berbuka puasa yang dinamakan Potato Cheese Stix. Resepi ini boleh dikatakan agak mudah kerana ia tidak memerlukan bahan masakan yang banyak. Selain itu, ia juga sesuai untuk dijadikan menu iftar kerana kentang merupakan salah satu makanan yang memberi sumber karbohidrat yang tinggi.

Bagi anda yang mempunyai anak-anak yang menggemari makanan berasaskan keju, anda juga boleh menghidangkan Potato Cheese Stix ini sewaktu berbuka puasa nanti.

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan serta cara penyediaan yang boleh anda ikuti:

Bahan-bahan

  • 2 biji kentang
  • 4 keping keju Cheddar
  • 7 sudu tepung jagung
  • Oregano
  • Garam secukup rasa

Cara Penyediaan

1. Panaskan periuk dan isikan air ke dalamnya. Kemudian, rebus kentang sehingga empuk. Setelah empuk, sejukkan kentang untuk beberapa minit.

2. Kemudian, lenyekkan kentang sehingga hancur.

3. Masukkan tepung jagung sedikit demi sedikit dan gaulkan sehingga rata dan sebati. Letakkan juga keju, oregano dan garam ke dalam mangkuk kentang. Campur dan gaul hingga semua bahan tidak melekat pada mangkuk.

4. Seterusnya, masukkan kentang dan bahan-bahan yang telah di gaul ke dalam plastik lauk jernih. (pilih saiz plastik yang besar)

5. Lenyek dan ratakan semua di dalam plastik. Pastikan kepingannya tidak terlalu nipis.

6. Potong plastik. Kemudian, potong kentang kepada dua dan jadikan bentukknya seperti sticks.

7. Panaskan minyak dan goreng sehingga masak. Kemudian hidangkan Potato Cheese Stix anda bersama mayonis dan sos cili. Selamat mencuba!

Lihat profil
Lina Rosli

401 artikel di Tajria.