Apa Itu Toner? Mengapa Kulit Anda Memerlukannya?
Adakah anda betul-betul memerlukan penyegar (toner) untuk kulit anda? Sebelum itu, saya ingin mengupas mengenai apa itu penyegar. Penyegar adalah sejenis cecair yang digunakan untuk membersihkan kotoran pada muka serta membantu mengurangkan blemish pada kulit. Ia juga merupakan mempunyai bahan yang dapat mengekalkan kelembapan kulit.

Jika di Korea, ia merupakan proses pertama yang akan dilakukan di dalam rutin kecantikan double cleansing. Ia akan membuka ruang-ruang pori di kulit untuk lebih mudah mengeluarkan dan menghilangkan segala kekotoran dan lebihan minyak.
Macam saya sendiri, penyegar merupakan produk yang paling penting untuk saya pakai kerana ia membantu dalam memberi kelembapan yang mencukupi kepada kulit. Hal ini kerana, saya mempunyai jenis kulit yang kering dan penyegar cukup penting dalam mengekalkan hidrasi kulit.
Setakat ini, saya telah mencuba jenama penyegar seperti Good Virtue. Co, Safi Perfect White dan Simple. Ketiga-tiganya memberikan kesan yang baik pada kulit dan cukup untuk mengekalkan kelembapan kulit. Walau bagaimanapun, kulit saya tidak mempunyai banyak masalah yang besar. Oleh sebab itu, tindak balas terhadap kulit saya adalah tidak begitu ketara.
Mengapa Saya Memilih Barisan Produk Penyegar Di Atas?
Komen saya untuk penyegar Good Virtue. Co, ia hadir dengan pembungkusan yang sangat efisien yang mana ia menggunakan jenis botol semburan (spray bottle). Dengan botol semburan, saya dapat memastikan keseluruhan muka dibersihkan dengan baik serta kuantiti penggunaan produk yang lebih jimat. Namun, saya tidak pasti sama ada orang lain mengalami perkara yang sama atau tidak, tetapi penyegar ini akan menegangkan kulit untuk beberapa ketika selepas memakainya.

Manakala untuk Simple pula, ia merupakan pilihan utama saya untuk produk penyegar. Seperti kebanyakan produk, ia juga membantu membersihkan lebihan minyak selain menjadikan kulit lebih halus dan lembut. Tekstur cecairnya yang ringan dan tanpa pewangi sangat sesuai digunakan untuk individu yang memakai lebih dari satu produk pada kulit seperti pelembap, serum dan essense yang mana baunya tidak mengganggu bau-bau wangian yang lain.

Adakah Penyegar Penting Untuk Kulit?
Jawapannya adalah tidak jika anda menggunakan produk lain yang mempunyai fungsi yang sama dalam membantu mengekalkan kehidratan kulit. Namun, penyegar adalah penting kerana ia adalah langkah kedua selepas pembersihan bagi membuang kotoran dan lebihan minyak di pori kulit yang tidak dapat dibersihkan sepenuhnya dengan mencuci muka semata-mata.
Adakah penyegar boleh diganti dengan produk lain? Ya, sekiranya anda menggunakannya sebagai produk pembersihan kulit. Terdapat alternatif lain yang boleh digunakan sebagai penyegar seperti air micellar (micellar water). Ia juga dapat membantu anda membersihkan dan mencuci kotoran pada kulit. Produk ini biasanya digunakan untuk menanggalkan solekan di muka yang merupakan proses pertama dalam mencuci solekan.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan kabut muka atau facial mist. Ia merupakan kaedah yang paling mudah bagi memastikan kulit anda lembap sepanjang masa. Bukan itu sahaja, harga juga adalah lebih murah. Namun, tidak seperti penyegar, kabut muka juga tidak membersihkan kotoran yang lebih mendalam iaitu kotoran di dalam pori. Tambahan pula, kabut muka tidak mempunyai bahan lembapan yang secukupnya.
________________________________________________________________________
Dengan ini dapat disimpulkan bahawa penggunaan penyegar adalah bergantung kepada keperluan kulit anda. Pastikan anda menggunakan produk yang bersesuaian dengan kulit supaya ia memberikan tindakbalas yang diperlukan.