Lina Rosli Diterbitkan 6 May 2020

Resepi Cepat Dan Mudah – Sotong Masak Kunyit

Bagi anda yang tidak banyak masa untuk menyediakan hidangan berat untuk berbuka puasa, hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda menu mudah untuk anda cuba.

Resepi untuk menu hari ini adalah Sotong Masak Kunyit. Menu ini sememangnya tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan yang mana waktu penyediaannya adalah sekitar 15 hingga 20 minit sahaja

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan bersama cara penyediaan yang boleh anda ikuti:

Bahan-bahan

  • Sotong yang telah siap dibersihkan
  • 3 biji bawang merah (dihiris)
  • 2 ulas bawang putih (dihiris)
  • 5 tangkai cili api (dihiris)
  • kunyit hidup (dihiris)
  • serbuk kunyit
  • garam secukupnya

Cara Penyediaan

1. Panaskan sedikit minyak pada api sederhana. Masukkan sotong dan biarkan ia masak terlebih dahulu. Jika sudah masak, angkat sotong bersama dengan airnya sekali.

2. Kemudian, masukkan minyak lagi pada kuali yang telah digunakan. Kali ini, tumis bawang merah, bawang putih, cili dan kunyit yang telah dihiris. Biarkan ia tumis sehingga ia naik bau.

3. Seterusnya, masukkan sotong ke dalam bahan tumisan. Untuk warna yang lebih menarik, letakkan serbuk kunyit secukupnya. Selepas itu, masukkan garam ke dalam hidangan. 

4. Biarkan ia masak seketika dan sotong masak kunyit anda boleh dihidangkan. Selamat mencuba!