Lina Rosli Diterbitkan 8 May 2020

Resepi Bubur Lambuk Selera Pantai Timur

Sudah hampir dua minggu kini menyambut Ramadan. Pasti anda sudah ketandusan idea untuk memasak hidangan apa untuk berbuka puasa nanti. Oleh itu, resepi untuk dapur ramadan Tajria harini, kami membawakan masakan bubur lambuk pantai timur untuk anda cuba.

Berikut adalah senarai bahan dan juga cara penyediaan untuk hidangan bubur lambuk ini. Untuk resepi ini, saya menggunakan ikan kembung kerana ia lebih mudah untuk didapatkan di mana-mana pasar ataupun pasaraya. Anda juga boleh menggunakan ikan kegemaran anda seperti ikan selayang, ikan tenggiri dan lain-lain.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan beras
  • 1/2 kg ikan kembung
  • 4 biji bawang merah
  • 2cm halia
  • 1 1/2 sudu Lada hitam
  • 1 ikat  pucuk paku merah (pucuk midin)
  • 1 ikan pucuk baku hijau (pucuk paku perak)
  • Daun kadok
  • 1 helai Daun kunyit
  • 2 atau 3 tangkai daun Kesum
  • 1 kotak santan

Cara Penyediaan:

  1. Basuh beras dan masukkan ke dalam periuk nasi. Untuk sukatan bubur, masukkan dua cawan beras dengan 7 hingga 8 cawan air. Kemudian, tanak nasi sehingga ia lembik dan sedikit berair.
  2. Sambil menunggu bubur masak, anda boleh kukus ikan yang telah disiang dan dibersihkan selama 10 hingga 15 minit. Setelah selesai rebus, ambil ikan dan asingkan isinya daripada tulang.
  3. Seterusnya, kisar bawang merah, halia, lada hitam dan isi ikan.
  4. Masukkan semua bahan yang telah dikisar ke dalam periuk nasi yang sedang merenehkan bubur.
  5. Masukkan sayur pucuk paku merah dan hijau, daun kadok, daun kunyit, daun kesum dan juga santan. 
  6. Akhir sekali, tambahkan sedikit garam dan serbuk perasa ke dalam bubur. Renehkan sehingga bubur anda kembang dengan baik dan tidak nampak akan ketulan beras.

Untuk rasa yang lebih menyelerakan, anda boleh tambah bawang goreng dan cili api bagi anda yang suka rasa yang lebih pedas. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menambah bahan-bahan lain seperti sotong, udang dan daging ke dalam hidangan bubur anda. Selamat mencuba!