Adakah Pengambilan Makanan Berminyak Boleh Menyebabkan Masalah Kulit?
Masalah yang berkaitan dengan kulit adalah suatu perkara yang tidak asing lagi. Terdapat segelintir individu mempunyai masalah kulit yang sensitif yang mana ia dapat dikaitkan dengan cara penjagaan kulit, pengambilan makanan yang tidak berkhasiat atau rutin harian yang tidak sihat.
Untuk hari ini, Tajria akan berkongsi informasi berkenaan hubungan di antara masalah kulit dengan jenis pengambilan makanan. Sebelum itu, apakah punca atau faktor utama yang boleh mengakibatkan jerawat? Antara faktor yang menyebabkan masalah kulit atau jerawat adalah lebihan sebum dalam kulit, peningkatan hormon dan juga bakteria di kawasan sekeliling.
Mengapa Pengambilan Makanan Dikaitkan Dengan Masalah Kulit?
Sebelum ini, terdapat beberapa kajian mendapati bahawa ada jenis makanan yang boleh menyebabkan terhasilnya jerawat pada kulit. Antaranya adalah coklat dan tenusu, bijirin dan gula, makanan segera serta makanan yang anda alergi.
Mengapa makanan-makanan ini dikatakan boleh menyebabkan jerawat? Hal ini kerana ia boleh meningkatkan paras insulin dalam badan yang mana ia tidak sesuai untuk anda yang mempunyai masalah jerawat. Insulin yang tinggi boleh memberi kesan kepada paras gula dan hormon serta mengubah formasi hormon dan genetik.
Walau bagaimanapun, tiada kajian yang khusus yang menunjukkan pengambilan makanan yang disenaraikan di atas boleh menyebabkan kerengsaan atau masalah lain pada kulit.
Makanan Berminyak Tidak Akan Menjadikan Kulit Anda Berminyak
Makanan berminyak sememangnya adalah kumpulan makanan yang tidak berkhasiat. Jenis makanan berminyak seperti ayam goreng, kentang goreng dan lain-lain makanan bergoreng merupakan pilihan kebanyakkan individu lebih-lebih lagi individu yang sibuk dan tiada masa untuk mendapatkan makanan yang baik dan memilih untuk membeli makanan di restoran-restoran makanan segera.

Tidak dinafikan makanan berminyak tidak baik untuk kesihatan, namun adakah ia boleh menyebabkan masalah kulit seperti jerawat dan kulit berminyak? Jawapannya adalah tidak. Hal ini kerana, sekiranya anda mempunyai jerawat, menghentikan pengambilan semua makanan bergoreng tidak akan menyebabkan kulit anda menjadi licin dan bersih. Sementara untuk orang yang mempunyai kulit yang bersih pula, ia tidak akan membuat mereka mengalami jerawat jika mula mengambil makanan berminyak.
________________________________________________________________________
Walau bagaimanapun, pengambilan makanan yang baik adalah penting untuk setiap individu. Ia bukanlah untuk kesihatan kulit semata-mata, tetapi ia juga adalah untuk menjadikan tubuh badan anda menjadi lebih sihat serta mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti kolestrol, penyakit jantung dan lain-lain.