Carian
Jom Cuba Hidangan Udang Masak Lemak Cili Api Dengan Peria Katak
May 12, 2020 Lina Rosli

Untuk hidangan dari Dapur Tajria hari ini, saya akan menunjukan resepi untuk hidangan yang sangat popular dalam kalangan masyarakat di selatan Malaysia iaitu Masak Lemak Cili Api. Untuk menu ini, anda juga boleh menggunakan daging atau ayam sebagai tukar kepada udang.

Berikut adalah senarai bahan dan juga cara penyediaan untuk hidangan Udang Masak Lemak Cili Api. Untuk resepi ini, saya meletakkan sayur peria katak di dalam hidangan untuk rasa yang lebih menyelerakan.

Cara masakan ini juga tidak memerlukan anda untuk menumis bawang merah dan bawang putih. Ia hanya santan, cili dan kunyit semata-mata yang mana ia akan terasa sedikit pahit dalam pedas hasil daripada peria katak.

Bahan-bahan

  • 250g Udang
  • 2cm Kunyit hidup
  • 8-9 batang Cili api
  • 1/2 kotak Santan
  • Peria katak
  • Garam secukup rasa
  • Daun kunyit (digunting halus)

Cara Penyediaan

  1. Kisar atau tumbuk cili api dan kunyit hidup sehingga hancur dan lumat.
  2. Masukkan bahan yang telah dikisar ke dalam periuk masak. Masukkan setengah kotak santan. Anda juga boleh menggunakan santan asli dari kelapa yang telah diparut.
  3. Kemudian, masak santan, cili dan kunyit di atas api yang perlahan. Gaulkan sehingga santan masak. Pastikan santan tidak pecah minyak yang mana santan dan air tidak berpisah antara satu sama lain.
  4. Apabila santan mendidih, masukkan peria katak yang telah dipotong kasar. Pastikan anda masih menggaul santan dengan perlahan.
  5. Kemudian, masukkan udang dan biarkan sehingga udang masak dan mendidih. 
  6. Akhir sekali, masukkan garam dan biarkan ia masak selama 1 minit. Setelah itu, taburkan daun kunyit dan Udang Masak Lemak Cili Api sedia untuk dihidangkan. Selamat mencuba!
Komen