5 Kegunaan Garam Selain Digunakan Dalam Masakan – Menghilangkan Bau Kasut
Selain digunakan di dalam masakan, garam juga boleh digunakan dalam pelbagai perkara lain lebih-lebih lagi untuk kegunaan di dalam rumah. Berikut adalah lima kegunaan garam yang boleh anda cuba.

Jadikan rasa kopi kurang pahit
Untuk anda yang ingin mengurangkan rasa pahit untuk kopi tanpa menambah rasa manis, anda mungkin boleh mencuba meletakkan sedikit garam ke dalam cawan kopi anda.
Menurut Alton Brown, seorang pengarang buku masakan yang sangat popular, dengan menambahkan 1/4 sudu teh garam kosher kepada 6 sudu teh kopi mampu meneutralkan kepahitan dan keasidan dalam kopi. Pastikan anda tidak menambahkannya secara berlebihan pada setiap cawan.
Keluarkan tanda air dari kayu
Jika anda perasan, air yang terbiar lama di atas kayu akan meninggalkan kesan putih. Kadangkala, ia juga berlaku apabila anda meletakkan gelas air sejuk di atas meja untuk suatu tempoh masa yang panjang.
Anda boleh menggunakan garam untuk mengilangkan kesan air pada perabot anda. Buat campuran garam dan minyak zaitun. Kemudian, gosokkan perlahan-lahan pada perabot dan biarkan selama 15 hingga 20 minit sebelum lapkannya kembali dengan kapas bersih. Anda juga boleh melakukannya dengan hanya satu sudu teh garam dan sedikit air.
Menghilangkan bau kasut anda
Kasut kulit atau kasut bertutup boleh menjadi sangat berbau, terutamanya jika anda memakainya tanpa stokin kaki. Untuk menghilangkan bau busuk serta menyerap kelembapan pada kasut, anda boleh menaburkan sedikit garam di dalam kasut anda. Goncangkan kasut untuk memastikan garam ditaburkan secara menyeluruh, kemudian biarkan selama 24 jam sebelum anda mengeluarkan garam.
Membersihkan papan pemotong
Banyak kajian mendapati bahawa papan pemotong plastik dan kayu menyimpan kuman dan bakteria yang banyak. Untuk menghilangkan bakteria, anda boleh menambahkan satu langkah menggosok papan dengan garam dalam rutin mencuci anda. Seterusnya, bilas papan dengan air panas.
Menyerap kotoran makanan
Sekiranya terdapat kotoran atau kesan makanan pada baju atau seluar anda, anda boleh sapukan sedikit garam ke atasnya. Garam berfungsi untuk menyerap kotoran. Selepas itu, basuh pakaian anda seperti biasa menggunakan sabun pencuci. Kaedah ini juga boleh digunakan di atas permaidani.
________________________________________________________________________
Terdapat pelbagai fungsi garam yang mungkin berguna untuk anda selain menambah rasa masin di dalam makanan. Anda juga boleh mencampurkan garam dengan air bagi melegakan sementara rasa sakit tekak. Bukan itu sahaja, anda boleh membersihkan sinki yang tersumbat dengan menuangkan garam ke dan sedikit cuka putih ke dalam sinki. Selepas itu, kosongkan campuran dengan air panas. Selamat mencuba!