Punca Angin Dalam Badan – Adakah Ia Boleh Dilegakan Dengan Berurut?
Masalah angin atau gas dalam badan ini sering terjadi dalam kalangan orang dewasa. Namun, ia berlaku kepada semua lapisan umur termasuk bayi. Masalah angin ini berpunca daripada pengumpulan gas yang berlebihan di dalam usus dan sekaligus menyebabkan refluks badan seperti sendawa atau buang angin secara tiba-tiba.
Namun, apakah faktor yang menyebabkan pembentukan lebihan gas dalam badan? Adakah ia disebabkan oleh faktor pemakanan atau kesan daripada gaya hidup seseorang?
Jawapannya adalah kedua-duanya sekali. Aerophagia adalah masalah yang berlaku di dalam perut ketika menelan gas di bahagian esofagus. Aktiviti harian yang boleh mencetuskan perkara ini termasuk menelan air liur ketika makan atau minum. Sebagai contoh, mekanisma seperti makan dengan cepat atau laju yang mana suapan kedua telah dilakukan sebelum suapan pertama selesai akan menyebabkan lebihan gas yang disedut ke dalam badan.
Selain itu, refluks asid (GERD) juga boleh menyebabkan pembentukan gas dalam badan. Apabila usus tidak boleh mencerna makanan dengan baik, ia akan menyebabkan sindrom gas bloating atau dikenali sebagai masalah kembung perut. Dengan membuat sedikit perubahan gaya hidup untuk merawat refluks asid dapat membantu mengurangkan gas yang berlebihan.
Bagaimanakah Cara Untuk Melegakan Masalah Angin Dalam Perut?
Sendawa adalah salah satu kaedah mudah dan pantas untuk melegakan kembung perut terutamanya apabila terkumpul di badan. Berikut adalah beberapa petua untuk membantu anda melegakan angin:
1. Meningkatkan tekanan gas di perut dengan meminum minuman berkarbonat
Dapatkan minuman berkarbonat seperti Sprite, Pepsi atau air gas yang lain. Seterusnya, cuba untuk meminumnya dengan cepat bagi meningkatkan jumlah tekanan gas. Menghirup sedikit demi sedikit dan pastikan anda menelannya sejurus selepas menghirup.
2. Elakkan mengambil makanan yang boleh menyebabkan angin
Anda disarankan untuk menjauhi makanan penyebab gas seperti gula gula getah, gula gula keras dan meminum menggunakan straw. Selain itu, cuba kunyah makanan secara perlahan dan elakkan dari terus menelan.
3. Buat senaman mudah atau cuba menggerakkan bahagian badan
Anda digalakkan mengeluarkan gas dari badan anda dengan bersenam. Anda boleh melakukan senaman seperti berjalan kaki, berjoging atau melakukan senamrobik ringan.
Adakah Urutan Boleh Melegakan Lebihan Gas?
Buat masa ini, tiada kajian yang menunjukkan teknik berurut boleh melegakan gas. Namun, ia masih boleh dilakukan bagi membantu melancarkan perjalanan darah dalam badan.
Kesimpulannya, amalan pemakanan dan gaya hidup sihat adalah penting bagi memastikan kesejahteraan badan anda. Tiada rawatan yang spesifik dapat membantu mengurangkan masalah lebih gas di dalam badan ini. Namun, jika hal ini berlarutan dan menjadi lebih serius, anda perlu mendapatkan khidmat nasihat pakar dan doktor bagi memastikan simptom dan gejala dapat dikurangkan.
Rujukan: iffgd.org , healthline , MyHealth