Carian
5 Tips Merancang Dan Mengurus Perbelanjaan Bulanan Untuk Makanan
June 3, 2020 Lina Rosli

5 Tips Merancang Dan Mengurus Perbelanjaan Bulanan Untuk Makanan

Belanja untuk bulanan juga tidak sama untuk setiap bulan disebabkan harga pasaran yang tidak tetap. Jadi bagi mengelakkan anda berbelanja lebih, ia penting untuk anda merancang dengan bijak berkenaan menu, pemilihan bahan dan juga lokasi pembelian untuk makanan.

Membuat perancangan belanjawan untuk makanan bukan perkara yang mudah. Hal ini kerana ia memerlukan penyelidikan dan perancangan yang menyeluruh untuk menghitung kos agar tidak lari dari bajet yang telah diasingkan. 

Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda praktikkan dalam merancang dan mengurus perbelanjaan bulanan untuk makanan:

Senaraikan menu makanan secara berkala atau mingguan

Anda boleh senaraikan lauk yang ingin anda masak untuk makan tengahari atau makan malam. Dengan ini, ia memudahkan anda untuk membeli stok atau barang makanan yang diperlukan untuk menu anda. Bukan itu sahaja, ia dapat mengelakkan pembaziran dalam membeli bahan masakan. Tukar idea menu untuk pilihan yang lebih murah. Bandingkan kos antara jenama produk dengan promosi untuk setiap kedai yang berdekatan.

Elakkan menu yang memerlukan bahan yang khas atau kompleks

Selain itu, anda digalakkan untuk mengurangkan penyediaan makanan yang memerlukan bahan-bahan yang kompleks atau premium. Hal ini kerana, ia mungkin memerlukan anda untuk menambah ramuan khas yang mungkin tidak anda miliki. 

Apabila berlaku sedemikian, anda perlu meneliti berapa kos tambahan yang diperlukan serta adakah ia berbaloi untuk dibeli jika anda hanya akan menggunakannya sekali.

Buat dalam kuantiti yang lebih

Untuk lebih jimat, anda boleh menyediakan satu jenis lauk yang boleh dihidangkan untuk makan tengahari hingga ke malam. Dengan ini, anda boleh mengurangkan penggunaan bahan yang lain seperti minyak dan air selain turut menjimatkan masa penyediaan.

Sekiranya anda memasak ayam panggang untuk makan tengahari, anda mungkin boleh menggunakan ayam yang lebih untuk dijadikan menu yang lain seperti nasi goreng ayam atau lain-lain masakan.

Kira anggaran kos yang lebih menguntungkan; pesan makanan luar atau masak

Hitung kos yang diperlukan untuk sesuatu penyediaan makanan seperti kos kasar atau kos-kos lain. Tentukan jumlah yang anda belanjakan setiap minggu dengan memeriksa tabiat perbelanjaan semasa anda. Sertakan ini dalam anggaran makanan anda dan tetapkan jumlah yang diperlukan sebelum anda pergi ke kedai runcit atau pasaraya. Jika kos memasak lebih tinggi, mungkin adalah lebih baik untuk anda memesannya di kedai sahaja.

Gunakan aplikasi untuk jejak perbelanjaan anda

Selain merancang menu dan pembelian barang keperluan, anda juga boleh menggunakan aplikasi pengurusan kewangan untuk menjejak aktiviti perbelanjaan anda. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan aplikasi My Tabung yang dibangunkan oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu mengurus kewangan bulanan anda.

Terdapat banyak lagi aplikasi lain yang boleh anda muat turun sama ada di Play Store atau Apps Store seperti Toshl, Besmart dan Money Manager.

 

 

Komen