Min Ahmad Diterbitkan 18 June 2020

Ketagihan Gula – Adakah Anda Perlu Risau?

Ketagihan Gula – Adakah Anda Perlu Risau?

Pernahkah anda cuba untuk berhenti mengambil makanan bergula dalam tempoh satu hari? Agak sukar bukan? Rasa seakan-akan tidak senang duduk terfikirkan makanan dan minuman yang manis seolah-olah minda kita dikawal oleh keinginan yang kuat untuk menikmati sesuatu yang bergula.

Keinginan untuk makan makanan manis dicetuskan oleh minda anda yang menginginkan ganjaran dalam bentuk makanan, dan ini tidak dipengaruhi oleh rasa lapar mahupun keperluan tubuh untuk mendapatkan zat serta nutrisi penting untuk badan.

Ketagihan gula adalah salah satu perkara yang dialami ramai. Walaupun kita rasa kita bukanlah penggemar makanan manis, tanpa kita sedari pengambilan makanan harian kita kaya dengan gula tersembunyi menyebabkan agak sukar untuk kita berhenti daripada mengambil makanan manis. Maka tidak hairanlah sekiranya gula adalah musuh dalam diam.

Apakah yang perlu anda risaukan sekiranya pengambilan makanan anda kaya dengan gula?

 

Peningkatan Berat Badan

Peningkatan kadar obesiti di seluruh dunia berkait rapat dengan pngambilan makanan dan minuman bergula. 

Minuman bergula seperti soda dan jus misalnya, adalah sarat dengan fruktos, sejenis gula ringkas.  Pengambilan fruktos meningkatkan rasa lapar dan nafsu untuk makan. Fruktos juga meningkatkan ketahanan badan terhadap leptin, hormon yang bertanggungjawab untuk meregulasikan rasa lapar dan menghantar isyarat ke otak untuk menyuruh anda berhenti makan.

Pengambilan makanan dan minum bergula ternyata mempunyai compounding effect yang negatif terhadap kesihatan. Maka

 

Meningkatkan risiko Penyakit Kardivaskular

Penyakit jantung adalah pembunuh dalam senyap nombor satu di dunia. Kajian mendapati bahawa diet yang kaya dengan gula mampu menyebabkan obesiti, peningkatan triglyceride (lemak yang ditukarkan badan dari makanan), peningkatan gula dalam darah dan tekanan darah di mana kesemua faktor ini memainkan peranan dalam kes penyakit kardiovaskular.

Pengambilan gula yang tinggi juga dikaitkan dengan atheroslerosis, yang mengakibatkan arteri tersumbat dan mengeras.

 

Menyebabkan Kemunculan Jerawat

Indeks glisemik ialah pengukur kadar karbohiodrat dalam makanan dan bagaimana ia mampu memberi kesan terhadap peningkatan kadar gula dalam darah. Semakin tinggi indeks glisemik sesuatu makanan, semakin tinggi kadar penghasilan dan pembebasan gula ke dalam darah.

Makanan yang diproses serta bergula mempunyai indeks glisemik yang tinggi. Apabila kita menghadam makanan ini, ia melonjakkan kadar insulin dalam darah dan sekaligus meningkatkan penghasilan hormon androgen (hormon androgen banyak dihasilkan badan lelaki, namun ia juga turut hadir di dalam badan wanita), penghasilan sebum dan kadar inflamasi yang memainkan peranan dalam pembentukan jerawat.

Bagi mereka yang sedang membesar, pengambilan gula berlebihan dalam diet seharian akan memburukkan lagi kesan jerawat. Maka pengambilan makanan yang seimbang dengan kadar glisemik yang rendah dan kaya dengan serat adalah lebih digalakkan.

 

Meningkatkan Risiko Diabetes Tahap 2

Ramai yang beranggapan bahawa diabetes adalah penyakit keturunan. Namun ramai yang tidak tahu bahawa diabetes juga boleh terjadi akibat faktor gaya hidup.

Pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan gula untuk tempoh yang berpanjangan mampu meningkatkan risiko untuk mendapat diabetes tahap 2. Ini berlaku akibat kehilangan keupayaan badan untuk menentang tindakbalas insulin yang dihasilkan terhadap pengambilan makanan/ minuman bergula dan/atau secara beransur-ansur kehilangan kapasiti untuk menghasilkan insulin yang cukup. Ia lantas meningkatkan kadar gula dalam darah dan sekaligus meningkatkan risiko untuk mendapat diabetes.

Diabetes tahap 2 tidak semestinya memberi kesan terhadap mereka yang dewasa dan berumur semata-mata. Kanak-kanak dan mereka yang berusia awal 20-an juga boleh terdedah kepada risiko untuk mendapat diabetes tahap 2 sekiranya mengamalkan faktor pemakanan yang tidak seimbang.

 

Meningkatkan Risiko Terhadap Sesetengah Penyakit Kanser

Selain diabetes, pengambilan gula berlebihan juga mampu meningkatkan risiko terhadap sesetengah penyaki kanser. 

Makanan yang bergula menyebabkan penghasilan free fatty acids di hati. Apabila badan menghadamkan free fatty acids ini, ini akan mengkabitkan penghasilan kompaun yang boleh menyebabkan keradangan. Lama kelamaan, keradangan yang disebabkan oleh tabiat pemakanan yang buruk boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan, seperti penyakit jantung, kerosakan hati, diabetes, dan barah.

Kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa pengambilan diet yang tinggi dengan gula secara berterusan mampu meningkatkan risiko untuk mendapat kanser esofagus, usus kecil dan barah pleural.

 

Mempercepatkan Proses Penuaan

Walaupun proses penuaan adalah satu proses yang semulajadi, pengambilan makanan yang tinggi dengan gula mampu mempercepatkan proses tersebut.

Advance glacation end product (AGE) adalah kompaun yang terbentuk daripada penggabungan protein/ lemak dengan gula di dalam darah. Ia juga turut hadir dalam makanan yang terdedah terhadap suhu yang tinggi ketika dalam proses memasak.

Kehadiran AGE dalam badan merosakkan kolagen dan elastin, yang merupakan struktur utama kulit. Ini menyebabkan kulit hilang keanjalan dan menyebabkan pembentukan kedutan.