Lina Rosli Diterbitkan 12 June 2020

Asal Usul Sosej Dan Bagaimana Istilah Hot Dog Muncul?

Asal Usul Sosej Dan Bagaimana Istilah Hot Dog Muncul?

Sosej adalah salah satu bentuk makanan olahan tertua, yang telah disebutkan di Homer’s Odyssey sejak abad ke-9 sebelum masihi. Perkataan sosej untuk bahasa Latin disebut salsus (salted), merujuk kepada kaedah pemprosesan makanan yang telah digunakan selama berabad-abad. Pelbagai bentuk sosej telah diperkenalkan di zaman awal Yunani dan Rom. 

Sewaktu zaman pertengahan, negara-negara di Eropah hadir dengan sosej tempatan tersendiri, termasuk jenis seperti frankfurter (Frankfurt am Main), bologna (Bologna, Itali), dan romano (Roma) yang diberi nama tempat asal mereka. 

hotdog sandwich on red background

Bagaimana istilah “hot dog” muncul? 

Ada yang mengatakan perkataan itu diperkenalkan pada tahun 1901 di New York Polo Grounds pada bulan April yang sejuk. Terdapat seorang penjaja yang menjual sosej dachshund panas. Dan terlihat seorang kartunis New York Journal, Tad Dorgan mengamati tempat kejadian dan dengan tergesa-gesa melukis kartun sosej dachshund yang digonggong para pembeli. Namun, disebabkan tidak sempat melukis dan tidak tahu mengeja “dachshund” dia hanya menulis “hot dog!”. Seterusnya, kartun itu dikatakan sensasi bersama-sama istilah “hot dog.” 

Ada juga sejarawan yang berpendapat, istilah “hot dog” ini ditunjukkan pada majalah perguruan pada tahun 1890-an. Istilah ini dilihat di Universiti Yale pada musim luruh pada tahun 1894, yang mana terdapat satu gerabak makanan yang menjual hot dog di asrama. 

sausage on black round pan

Bagaimana terhasilnya sosej?

Ia merupakan produk daging yang diperbuat dari daging cincang halus yang biasanya dimasukkan ke dalam bekas plastik bagi menghasilkan bentuk yang memanjang dan kecil. Pada konsep asal sosej ini dihasilkan adalah bagi memastikan tiada bahan-bahan dalaman haiwan yang terbazir dan dibuang secara sia-sia.

Sama ada anda memilih sosej daging lembu atau ayam, ia sememangnya mengandungi daging yang bukan bahan utama. Menurut Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), sosej dihasilkan bukan daripada daging mentah, ia diperbuat daripada pemotongan otot bawah haiwan, tisu lemak, daging kepala, kaki haiwan, kulit haiwan, darah, hati dan produk sampingan lain yang boleh dimakan.

Walau bagaimanapun, ia tidak bermaksud sosej dihasilkan daripada sisa organ dalaman yang tidak digunakan. Ia masih menggunakan bahagian yang sama seperti yang anda buat menjadi daging lembu atau daging ayam yang mana menggunakan potongan daging yang tidak menghasilkan stik yang baik kerana ia mungkin tidak memiliki kelembutan, ukuran, bentuk atau berat yang tertentu.

Sosej Moden Yang Dijual Pada Masa Kini

Dalam pemprosesan makanan moden, kandungan daging sosej biasanya hadir dengan tiga pilihan iaitu daging lembu, ayam atau daging babi. Ia juga hadir dengan beberapa bahan tambahan lain termasuk air, bijirin, pati sayur, tepung soya, bahan pengawet dan pewarna tiruan.

hotdogs in white ceramic bowl

Bukan itu sahaja, pelbagai rempah dan bumbu yang digunakan dalam pembuatan sosej termasuk garam, biji ketumbar, pala, cengkeh, bawang putih, cuka, kacang, lada atau kacang pistachio yang bergantung kepada pilihan etnik atau gaya hidup sesebuah negara. 

Untuk pembungkusan pula diperbuat daripada bahan sintetik moden dari plastik atau kolagen yang dibentuk semula daripada protein haiwan yang tidak larut. Manakala, sosej tanpa kulit pula dihasilkan dengan memasukkan bahan ke dalam selulosa sel dan kemudiannya direndam ke dalam air panas serta diselangi dengan air sejuk bagi membentuk protein tipis.

Sumber: Britannica , BestFoodFact