Memilih warna cat yang anda inginkan adalah bukan perkara yang mudah. Ini kerana terdapat pelbagai variasi warna yang terdapat di pasaran iaitu daripada warna terang kepada warna gelap.
Disamping itu, jenis cat juga penting kerana ia perlu disesuaikan mengikut jenis dinding rumah anda serta keadaan dan faktor lain yang akan mempengaruhi pemilihan jenis cat.
Jadi hari ini, Tajria akan berkongsi kepada anda perbezaan di antara cat minyak dan cat air dan beberapa perkara yang perlu anda tahu sebelum memilih jenis cat.
Jenis yang pertama adalah cat minyak. Cat minyak mengandungi bahan semulajadi iaitu minyak linseed dan minyak sintentik sebagai asas. Ia memberikan kesan yang mana dinding akan menjadi lebih menonjol dan warnanya adalah lebih terang berbanding cat. Sementara cat air pula mempunyai zarah mikroskopi plastik iaitu binder, filler, pigmen dan larut dalam air.
Cat Minyak Vs Cat Air
Cat berasaskan minyak sesuai digunakan untuk kebanyakan permukaan yang memerlukan kemasannya tahan lama. Ia juga menghasilkan lapisan yang pejal yang boleh menghalang kotoran dan karat dari masa ke masa.
Cat berasaskan air adalah pilihan yang popular untuk bahagian dalaman (interior) atau kelengkapan rumah. Ia boleh digunakan pada dinding dan siling, serta untuk kemasan kayu dan logam dalaman. Bukan itu sahaja, cat jenis ini juga sesuai digunakan pada bahagian luaran (exterior), iaitu pintu dan bingkai tingkap.
Untuk anda yang ingin menggunakan cat minyak, berikut merupakan kelebihan dan kekurangan yang perlu anda tahu:
Kelebihan Cat Minyak
- Cat minyak adalah lebih tahan lama pada suhu rendah berbanding cat jenis lateks.
- Ia tidak memerlukan lapisan cat yang kedua untuk menutup kesan cela.
- Pakar menunjukkan warna cat minyak adalah lebih menonjol berbanding cat air.
Kekurangan Cat Minyak
- Ia memerlukan masa yang lama untuk kering; 8 hingga 24 jam untuk asas linseed dan 4 hingga 6 jam untuk asas sintentik.
- Sukar untuk dibersihkan jika terkena pada lantai atau tangan. Anda perlu menggunakan turpetin atau cat thinner untuk membersihkannya.
- Tidak sesuai digunakan pada dinding yang kering yang mana warnanya lebih cepat luntur dan mudah merekah.
Untuk anda yang ingin menggunakan cat air, berikut merupakan kelebihan dan kekurangan yang perlu anda tahu:
Kelebihan Cat Air
- Cat air menggunakan air sebagai pelarut. Bukan itu sahaja, ia juga adalah jenis mesra alam yang mana hanya mempunyai toksik alkohol yang rendah.
- Sesuai digunakan untuk keadaan kering dan basah. Warna juga tidak mudah pudar dan tahan UV.
- Ia juga mudah dibersihkan menggunakan air jika terdapat kotoran pada lantai atau mana-mana bahagian anggota.
- Tidak seperti cat minyak, ia tidak memberikan bau yang kuat sewaktu sesi mengecat serta tidak memerlukan masa yang lama untuk kering selepas dilapiskan pada dinding iaitu kira-kira 20 hingga 30 minit untuk kering.
- Ia juga tidak memerlukan lapisan cat primer sebelum mengecat. Ia hadir dengan kemasan berkilat dan separa kilat.
Kekurangan Cat Air
- Cuaca atau iklim sejuk akan mempengaruhi konsistensi dan aplikasi cat.
- Apabila tidak digunakan untuk satu tempoh yang panjang, bahan dalam cat akan larut dan akan bertukar menjadi pepejal.
- Ia tidak sesuai untuk dinding yang mempunyai tekstur yang keras dan kasar.
Bagaimana Untuk Mengetahui Sama Ada Cat Yang Dibeli Adalah Minyak Atau Air?
Bagi mengetahui sama ada cat yang anda beli adalah berasaskan minyak atau air, anda boleh melakukan ujian dengan meletakkan sedikit cat di atas satu permukaan kayu licin, cermin kecil atau bahagian kecil dinding anda. Kemudian, lapkannya dengan kain basah. Jika ia hilang, maka ia adalah cat air.
Anda juga boleh meletakkannya pada kain dan lap di bahagian kecil dinding anda. Sekiranya kain itu diwarnai dengan warna dinding, ia adalah berasaskan air.
________________________________________________________________________
Terdapat perbezaan di antara cat minyak dan cat air yang mana kedua-duanya akan memberikan kesan yang berbeza. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri bergantung kepada tempoh, kawasan dan cuaca di tempat yang ingin di cat.
Sumber: Dulux