Mi Goreng Kicap Mudah
Kita sekarang telah pun memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. Ramai antara kita telah kembali mula bekerja. Pulang ke pejabat ada masanya kita sudah penat untuk menikmati juadah yang terlalu berat. Sekali sekala kita inginkan menu yang ringkas dan mudah untuk dimasak. Tambahan pula anda sudah pun menikmati nasi sewaktu makan tengahari. Apa kata anda cuba resepi mi goreng kicap mudah di bawah:
Kandungan kalori: 281 kcal (untuk hidangan 170 gram bersamaan dengan 1 pinggan)
Tempoh penyediaan bahan-bahan: 15 minit
Tempoh memasak: 20 minit
Saiz hidangan: 3 orang
Bahan-bahan:
- 1 biji bawang besar dicincang
- 4-5 biji bawang putih diketuk atau dicincang halus
- 1 paket mi kuning
- 100 gram daging dipotong sederhana besar
- 12 ekor udang sederhana kecil (boleh digantikan dengan sotong atau menggunakan kdua-dua bahan sekiranya mahu)
- 1 keping fishcake
- 1/2 paket bebola ikan
- Kicap manis dan kicap pekat secukupnya
- 1 biji telur
- Sayur-sayuran pilihan. (Saya gunakan tomato dan putik jagung. Anda boleh juga menambahkan sawi dan cili besar)
- Sedikit air
- Garam
- Minyak untuk menumis
Cara penyediaan:
- Tumis bawang besar dan bawang putih untuk seketika. Kemudian masukkan daging, udang dan/atau sotong dan teruskan memasak sehingga hilang warna merah pada daging manakala isi sotong dan/atau udang bertukar warna menjadi putih.
- Masukkan kicap sebanyak mana yang perlu. Sekiranya anda tidak mempunyai kicap pekat, memadai sahaja dengan kicap manis.
- Masukkan mi kuning, fishcake dan bebola ikan yang telah dihiris. Kacau rata agar sebati dengan kicap.
- Ketepikan mi ke sisi kuali dan pecahkan telur. Setelah telur separa kental, hancurkan agar ia pecah secara kasar dan gaulkan dengan mi.
- Masukkan sedikit air. Perasakan garam sekiranya perlu.
- Mi goreng kicap kini siap untuk dihidangkan panas-panas. Hidangkan dengan cili potong/ cili jeruk.
Selamat mencuba!
