Lina Rosli Diterbitkan 17 June 2020

Perlukah Anda Memberus Gigi Setiap Kali Selepas Makan?

Perlukah Anda Memberus Gigi Setiap Kali Selepas Makan?

Gigi adalah bahagian tubuh yang penting untuk setiap individu. Selain rambut, gigi juga boleh dikategorikan sebagai mahkota individu kerana ia merupakan bahagian pertama yang akan kita lihat sewaktu bercakap, senyum dan makan.

Gigi mempunyai 4 lapisan tisu iaitu; enamel, pulpa, dentin dan cementum. Lapisan gigi paling luar adalah enamel. Ia adalah satu lapisan nipis yang menyaluti gigi. Oleh itu, anda perlu menjaga lapisan ini dengan lebih baik.

long black haired woman smiling close-up photography

Tahukah anda bahawa memberus gigi setiap kali selepas makan boleh menyebabkan hakisan dan salah satu faktor gigi rosak? Menurut kajian, anda seharusnya menunggu sekurang-kurangnya setengah jam sebelum memberus gigi selepas makan. Ini membantu anda mencegah hakisan enamel yang disebabkan oleh asid dalam makanan anda.

Antara makanan berasid yang berisiko menghakis lapisan enamel termasuk limau, oren dan lemon. Makanan ini mengandungi asid sitrik dalam jumlah tinggi. Jadi, apabila anda memberus gigi sebaik sahaja memakan makanan ini, ia akan merosakkan enamel anda.

Mengapa anda tidak perlu memberus gigi selepas makan?

Sekiranya anda merasa tidak selesa setelah makan makanan berasid, anda harus membersihkan mulut menggunakan air biasa. Air akan membantu membersihkan makanan yang tersisa di mulut anda selepas makan. Ini akan membantu anda mengelakkan hakisan dan kerosakan apabila anda memberus gigi setelah memakan makanan berasid.

Tempoh 30 minit antara makan dan memberus gigi memberikan masa yang mencukupi untuk meneutralkan semula gigi anda. Hal ini kerana, air liur akan meneutralkan asid yang ada di mulut dan seterusnyan boleh melindungi gigi anda.

Bukan itu sahaja, pengambilan asid fosforik yang berpanjangan juga boleh membawa kepada kerosakan gigi. Ini kerana asid ini mampu mengikis permukaan gigi yang keras. Selain itu, anda disarankan untuk mengelakkan makanan yang kaya dengan asid dan gula.

Berapa Kali Sehari Anda Perlu Memberus Gigi?

Menurut The American Dental Association, anda hanya perlu memberus gigi dua kali sehari selama dua minit untuk setiap sesi. 

Untuk menentukan waktu yang perlu anda berus gigi adalah berdasarkan pengambilan diet anda. Sekiranya anda sudah makan makanan atau minuman yang berasid, elakkan daripada segera memberus gigi. Asid ini akan melemahkan enamel gigi.

Sumber: MayoClinic