3 Persediaan Ibubapa Untuk Mengurus Anak Yang Akan Kembali Ke Sekolah

Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan untuk tahun 2020. Bagi pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 6, mereka telahpun masuk ke kelas bermula hari ini dan mengikut SOP yang telah ditetapkan. Selain pelajar sekolah menengah, kanak-kanak pra-sekolah juga akan menyambung sesi persekolahan bermula 1 Julai 2020.

Kembali ke sekolah setelah berehat panjang pasti akan terasa sangat janggal. Lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak pra-sekolah. Hal ini bukan sahaja tertakluk kepada pelajar sahaja, malah persediaan ibu-bapa dan guru juga akan memainkan peranan yang penting sebelum pelajar kembali ke sekolah.

Menurut kajian di United Kingdom, ia mendapati bahawa 43 peratus ibu bapa tidak sabar ingin menghantar anak kembali ke sekolah, dan hanya 39 peratus yang selesa menghantar anak berusia empat hingga enam tahun kembali ke kelas.

Berikut adalah 3 persediaan yang boleh anda persiapkan untuk anak-anak anda dalam mengamalkan norma baru semasa berada di sekolah:

Merangsang mereka untuk menerapkan rejim baru

Rutin dan aktiviti di sekolah kini tidak seperti dahulu. Ini melibatkan kedudukan pelajar di dalam kelas, batasan dalam aktiviti atau pembelajaran berasaskan fizikal dan juga etika ketika makan pada waktu rehat.

Bagaimana anda memastikan perubahan ini dapat diikuti dengan baik dan berkesan? Ia adalah penting untuk bertanya dan berbincang secara terbuka tentang apa yang akan berlaku setiap hari di sekolah. Ia bertujuan untuk mengetahui apa yang dilakukan anak-anak anda semasa berada di sekolah.

Mematuhi peraturan dan dasar sekolah

Sebagai ibu bapa, pastikan anda mengetahui peranan atau fungsi polisi kehadiran dan cuti sakit yang fleksibel kepada pelajar untuk tinggal di rumah ketika sakit atau ketika merawat ahli keluarga yang sakit. Bukan itu sahaja, anda juga perlu mengetahui perubahan kalendar akademik, terutamanya berkaitan dengan cuti dan peperiksaan.

Menyediakan kelengkapan khusus untuk anak anda sewaktu di sekolah

Anda juga boleh menyediakan kelengkapan seperti pelitup muka, hand sanitizer dan tisu basah yang bertujuan untuk membersihkan anggota badan setelah memegang barangan yang digunakan orang ramai seperti pagar, meja makan, peralatan sukan, pemegang pintu dan tingkap. Walau bagaimanapun, anda juga perlu mendidik anak anda tentang penggunaan kelengkapan yang betul. 

________________________________________________________________________

Kebimbangan ini bukan hanya disebabkan risiko Covid-19 sahaja, tetapi juga bagaimana anak-anak akan menyesuaikan diri dengan norma baru, seperti membawa barang keperluan sendiri dari rumah dan menjaga jarak dengan rakan-rakan yang lain. Pendidikan awal dari rumah adalah penting bagi membantu proses pembelajaran di sekolah dapat berjalan dengan lancar.