JIMMYSCARVES Ingin Menjadikan Fesyen Tudung Labuh Lebih Bergaya
Seperti yang anda sedia maklum, arena fesyen di Malaysia berkembang dengan sangat pantas. Lebih-lebih lagi untuk perkembangan fesyen muslimah moden. Jika anda lihat, di Malaysia mempunyai pelbagai jenama tempatan yang mengetengahkan penawaran variasi fesyen tudung termasuk JIMMYSCARVES.
Terdapat pelbagai pilihan tudung yang boleh anda cuba dan miliki berdasarkan warna, material dan rekaan. Tudung ini bukan sahaja membawakan fungsi sebagai sehelai kain untuk menutup rambut seseorang malah ia turut menggambarkan keperibadian seseorang dan jalan bagi mereka untuk menunjukkan identiti mereka.
Hijabista (gabungan perkataan hijab dan fashionista) merupakan individu barisan hadapan untuk industri fesyen yang juga ikon fesyen kepada kebanyakan masyarakat. Namun, tidak seperti fesyen-fesyen lain, fesyen tudung labuh seringkali tidak diberi perhatian yang cukup serta sering dianggap tidak bergaya dan ketinggalan zaman sekaligus lebih mudah dilupakan di antara pelbagai trend dan gaya tudung.
JIMMYSCARVES, jenama tudung yang memfokuskan untuk menjadikan tudung labuh bergaya dan menarik bagi wanita. Ia bertujuan untuk menaikkan kembali fesyen untuk muslimah moden dan dalam masa yang sama masih mengekalkan kualiti dan “patuh syariah”. Selain itu, jenama ini juga membawakan cetakan dan rekaan yang bergaya pada kain premium yang lembut serta memastikan keselesaan kepada si pemakai.
Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai JIMMYSCARVES, Tajria telah mengajukan beberapa soalan kepada pemilik atau individu yang telah menjayakan JIMMYSCARVES, iaitu Azim Mat Noor.
Jelaskan lebih lanjut mengenai jenama JIMMYSCARVES dan mengapa memilih untuk menjadi usahawan dalam industri fesyen, lebih-lebih lagi untuk fesyen tudung dan pakaian muslimah?
Jenama JIMMYSCARVES tercipta daripada keinginan saya yang tinggi untuk menjadi seorang usahawan pada mulanya. Dan dalam pada masa yang sama peluang datang apabila salah seorang ahli keluarga saya turut berkecimpung terlebih dahulu dalam bidang fesyen tetapi lebih kepada pembuatan tudung (tailoring). Dari situ saya mengambil peluang tersebut untuk mencipta jenama sendiri di mana pada masa itu saya melihat pilihan untuk tudung labuh yang up-to-date adalah terhad. Dari situ saya mendapat idea untuk menjadikan JIMMYSCARVES sebuah jenama yang mengetengahkan konsep labuh dan moden dalam menyediakan koleksi-koleksi tudung di pasaran.
Siapakah kelompok sasaran JIMMYSCARVES?
Kelompok sasaran bagi jenama Jimmyscarves lebih kepada orang yang sudah bekerjaya dalam lingkungan 25 dan ke atas seperti guru, penjawat awam dan sebagainya.
Apakah yang membezakan JIMMYSCARVES berbanding jenama-jenama Muslimah yang lain seperti Ariani, Calaqisha dan sebagainya? Siapakah pesaing terdekat untuk produk anda?
JIMMYSCARVES lebih menekankan konsep labuh dan corak moden di setiap koleksi yang dikeluarkan. Koleksi jenis instant yang menjadi kepakaran kami dengan penggunaan material yang sesuai dapat memberi pelanggan kemudahan, kekemasan dan keselesaan ketika memakai koleksi JIMMYSCARVES
Apakah pandangan JIMMYSCARVES berkenaan trend di dalam industri fesyen yang lebih cenderung kepada gaya yang lebih moden dan trendy?
Trend yang dapat dilihat berdasarkan pelanggan sedia ada, koleksi printed lebih menjadi pilihan ramai berbanding warna kosong. Tapi tidak bermaksud warna kosong tiada sambutan. Tetapi koleksi printed memang mendapat tempat di hati pelanggan jika setiap kali dilancarkan.
Jimmyscarves akan terus mengikut peredaran fashion dan memenuhi citarasa pelanggan dari masa ke semasa dengan masih mengekalkan konsep labuh dengan design moden kontemporari.
Bagaimana JIMMYSCARVES mengendalikan operasi sewaktu tempoh pandemic berlangsung? Apakah alternatif yang disediakan bagi menjamin kelangsungan operasi syarikat ?
Sewaktu tempoh kami masih beroperasi secara online walaupun butik diarahkan tutup didalam tempoh PKP. Bagi mengekalkan kelansungan syarikat pada masa itu, pihak syarikat mengarahkan semua pekerja untuk bekerja dari rumah. Untuk pengeposan barang pula dibuat dalam masa-masa tertentu sahaja bagi mengehadkan pergerakan setiap individu.
Setelah tempoh PKP berlalu, kami dapat beroperasi seperti biasa di mana butik dapat dibuka dengan mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Apakah rancangan JIMMYSCARVES untuk kekal relevan di dalam industri fesyen?
Untuk kekal relevan di dalam industri fesyen ini, setiap perancangan yang akan dibuat oleh JIMMYSCARVES akan sentiasa mengikut trend dan permintaan dalam kalangan pengguna. Sebagai contoh dari segi pattern, corak tudung dan juga pembaharuan di dalam bidang pemasaran supaya content dan informasi produk sampai kepada pelanggan.
Bagaimana JIMMYSCARVES melihat perubahan trend dalam masa lima tahun ke hadapan?
Hijabis masa kini semakin pintar bergaya, dan mereka semakin kreatif dalam menyuaipadankan pelbagai fesyen pakaian dan dalam pada masa yang sama masih kelihatan sopan. Citarasa mereka turut berubah mengikut trend fesyen dunia. Sebagai contoh dahulu wanita banyak yang suka corak floral dan sarat, namun kini corak geometri dan abstrak turut menjadi pilihan. Di samping warna-warna lembut dan corak minimalis turut menjadi pilihan ramai. Oleh itu penting untuk jenama-jenama tudung yang ada untuk peka terhadap perkembangan ini.