Bercuti Ketika PKPP – Apa Yang Perlu Anda Tahu?
Berikutan dengan wabak COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun, negara kita telah pun melalui beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan. Pejam celik, telah lebih 3 bulan sejak kita mula melalui Perintah Kawalan Pergerakan bermula pertengahan Mac 2020 lepas. Kini, kita melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan selaras dengan langkah kerajaan untuk kembali membuka ekonomi negara.
Ketika ini, ramai yang mengambil kesempatan untuk bercuti di dalam negeri dengan ahli keluarga. Namun apakah yang perlu anda ketahui sekiranya anda ingin bercuti di saat ini?
Biasakan Diri Dengan Norma Baru

Ke mana-mana sahaja anda pergi, anda perlu membiasakan diri dengan butiran peribadi direkodkan dan suhu badan diambil sebelum anda dibenarkan memasuki mana-mana premis. Anda juga perlu memastikan mask muka perlu sentiasa dipakai apabila anda keluar. Sesetengah premis akan menghalang pengunjung daripada masuk sekiranya tidak mengenakan mask muka. Ini adalah norma baru yang harus diikuti semua bagi membendung penularan wabak di tempat awam.
Selain mask muka, hand sanitiser hendaklah sentiasa dibawa bersama-sama ke mana jua anda pergi. Ini adalah penting untuk memastikan tangan anda kekal bersih sepanjang masa, terutama sekali di tempat awam yang tidak mempunyai akses air bersih.
Selain itu, sesetengah pengusaha perniagaan hanya membenarkan bilangan tertentu pengunjung yang boleh memasuki premis perniagaan mereka dalam satu-satu masa. Oleh yang sedemikian, anda disarankan untuk membuat tempahan lebih awal di restoran/ spa sekiranya anda tidak ingin membuang masa menunggu dengan lama.
Waktu Operasi Perniagaan

Menjalani Perintah Kawalan Pergerakan selama 3 bulan di rumah sebelum ini, ditambah pula dengan sesetengah kategori perniagaan yang masih belum dibenarkan beroperasi, boleh dikatakan melihat orang ramai keluar hingga lepas jam 10 malam kini adalah satu permandangan yang janggal.
Memandangkan bilangan pengunjung yang semakin berkurangan menjelang malam, ada sesetengah perniagaan akan menutup perniagaan mereka seawal jam 8 malam. Walaupun ada restoran yang akan beroperasi sehingga jam 10 malam, kebanyakkannya tidak akan menerima pengunjung untuk menjamu selera di restoran selepas jam 9 malam.
Oleh yang sedemikian, anda disarankan untuk keluar awal untuk menikmati makan malam sekiranya anda ingin menjamu selera ketika bercuti.
Akses Gym dan Kolam Renang

Sesetengah hotel ada menawarkan kemudahan gym dan kolam renang bagi para pengunjungnya. Namun begitu, ketika PKPP, kemungkinan besar kemudahan ini akan ditutup untuk akses untuk mengelakkan. Sekiranya dibuka, ia mungkin dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu yang harus dipatuhi oleh pengunjung. Semak dengan hotel penginapan anda sebelum pergi sekiranya anda berhasrat untuk menggunakan perkhidmatan ini ketika bercuti agar anda tidak berasa hampa sekiranya ia ditutup.
Hidangan Sarapan dan Makan Malam Di Hotel

Bagi anda yang menginap di hotel, kebiasaanyaa anda akan dihidangkan makanan secara buffet. Namun begitu, pengendalian makanan akan berubah semasa PKPP. Anda diberikan pilihan menu dan makanan akan dihidangkan terus ke meja. Ini adalah untuk memastikan pengunjung hotel dapat mengikuti penjarakan sosial seperti yang telah disarankan.
Had Umur Pengunjung

Walaupun banyak tempat tarikan perlancongan telah mula dibuka, ada sesetengah premis dan fasiliti awam menetapkan had umur bagi pengunjung. Muzium, galeri, arkib, pusat kraftangan, memorial, perpustakaan dan kompleks kebudayaan misalnya mengehadkan kemasukan bagi mereka yang berumur 12 tahun dan ke bawah dan 60 tahun ke atas. Ini mungkin didorong oleh faktor crowd control bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk pengunjung. Oleh yang sedemikian, sekiranya anda ingin bercuti dengan keluarga dan mempunyai anak kecil, mungkin anda boleh melawat lokasi lain yang tidak mempunyai tetapan had umur bagi pengunjungnya.