Fikir Dua Kali Sebelum Membeli Perabot Secara Atas-Talian
Jika anda lihat, terdapat banyak platform atas-talian yang telah menjual pelbagai kelengkapan rumah. Bermula dari barangan dapur, kelengkapan diri, pakaian sehingga ke set perabot. Semuanya boleh didapatkan menerusi satu klik sahaja.
Tambahan lagi, membeli-belah secara atas talian merupakan suatu perkara biasa yang biasa pada masa kini. Bila bercakap mengenai trend pembelian, kebanyakan individu yang duduk di kawasan bandar atau metropolitan, mereka lebih gemar melakukan pembelian secara atas-talian. Hal ini berikutan peningkatan dalam jumlah peruncit atas-talian telah memudahkan pengguna mendapatkan barangan rumah dan hiasan dari semua jenis di web.
Sejak kebelakangan ini juga, trend menghias rumah dan mempamerkan dekorasi rumah yang menarik dilihat telah menjadi tular di media sosial. Ramai individu yang memberikan cadangan atau tempat pembelian perabot dan kelengkapan rumah yang boleh didapatkan secara atas-talian.

Namun harus diingatkan, pengguna perlu berhati-hati sebelum membeli barang secara atas-talian dalam memastikan barangan yang dibeli berkualiti tinggi dan dijual pada harga yang berpatutan. Lebih-lebih lagi untuk barangan yang mempunyai kos pembelian yang besar seperti perabot dan peralatan elektronik.
Perkara yang pertama yang harus anda lakukan adalah dengan membuat penyelidikan secara atas-talian terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran barangan. Hal ini meliputi perincian barangan seperti material, jenis, warna dan saiz serta ketahui status dan kredibiliti kedai atas-talian yang ingin anda buat pembelian. Ia bagi mengelakkan anda isu-isu negatif yang berkaitan dengan penipuan (scam dan fraud).
Bagi mengelakkan hal sedemikian berlaku, ini adalah tujuh langkah yang perlu anda lakukan sebelum mula membeli perabot secara atas-talian:
- Ketahui masa terbaik untuk membeli. Sebagai contoh, anda mungkin boleh melihat waktu-waktu tawaran promosi yang berhampiran sebelum mula membeli. Hal ini dapat mengurangkan bajet untuk pembelian barangan yang anda ingini.
- Kaji semula dasar pengembalian (return policy). Ia adalah penting untuk anda mendapatkan jaminan untuk barangan yang dibeli. Sekiranya peruncit atau platform tidak memberikan jaminan ini, pembelian anda akan menjadi berisiko dan sukar untuk di kembalikan jika ia berada di dalam keadaan tidak baik.
- Pertimbangkan harga barangan di platform atas-talian dan juga di kedai fizikal. Bandingkan harga di kedua-dua kedai. Dengan ini, ia memudahkan untuk anda membuat pilihan dengan bijak sekiranya anda ingin mendapatkan barangan pada harga yang rendah.
- Lihat ulasan pelanggan. Pengalaman dan ulasan sebelum ini semestinya dapat membantu anda mengetahui keadaan barang dan juga servis yang diberikan peruncit.
- Letakkan ukuran perabot pada pita pengukur. Ia bagi memastikan anda mendapat gambaran awal mengenai saiz perabot sama ada bersesuaian atau tidak dengan kapasiti rumah anda.
- Perhatikan kos penghantaran. Anda juga perlu menyemak jumlah kos untuk penghantaran ke rumah anda.
- Semak potongan harga atau diskaun yang diberikan. Walaupun diskaun tahunan sudah menjadi kebiasaan, namun anda harus berhati-hati dengan potongan harga yang sangat banyak untuk perabot berjenama.
Sebaiknya, untuk anda yang ingin membeli perabot atau barangan rumah pada kuantiti yang banyak dan juga jumlah harga yang besar, elakkan daripada membeli perabot secara atas-talian jika anda tidak dapat melihat dan mengujinya. Walau bagaimanapun, jika anda yakin dengan platform tersebut, anda boleh luangkan sedikit untuk memastikan bahawa perabot yang dibeli mengikut kriteria yang diinginkan.