Fobia ialah ketakutan melampau terhadap sesuatu objek atau situasi. Perkataan fobia itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Greek, phobos yang bermaksud ketakutan.
Fobia boleh terjadi tanpa mengira usia, namun biasanya ketakutan terhadap sesuatu situasi atau objek biasanya mula terbentuk di zaman kanak-kanak dan remaja.
Apakah Perbezaan Fobia dengan Ketakutan Biasa?
Ramai yang menyangka bahawa fobia dan rasa takut adalah satu perkara yang sama. Namun begitu, ia merupakan dua perkara yang berbeza.
Takut
Walaupun takut merupakan perasaan yang tidak menyenangkan, ia adalah penting untuk kelangsungan hidup. Perasaan takut secara semulajadinya telah diprogramkan ke dalam otak secara azali dan bertindak sebagai naluri. Ini membuatkan kita bertindak balas terhadap situasi yang membahayakan ataupun apabila kita terasa tidak selamat. Ia adalah sebahagian daripada survival instinct yang melindungi kita daripada bahaya dan kecelakaan. Dalam keadaan yang normal, kita masih boleh mengawal rasa takut dengan rasionalisasi dan logik akal.
Rasa takut membolehkan peka dengan keadaan di sekeliling dan tidak melakukan perkara yang tidak rasional yang dapat membahayakan diri. Salah satu contoh di mana rasa takut memainkan peranan ialah ketika melintas jalan. Tanpa perasaan takut, kita akan melintas jalan tanpa mengira kenderaan lain yang bergerak laju.
Fobia
Fobia pula merupakan sejenis anxiety disorder. Apabila seseorang mengalami fobia, mereka mengalami ketakutan melampau terhadap sesuatu objek atau situasi tertentu. Ia berbeza dengan ketakutan biasa kerana fobia menimbulkan tekanan yang besar terhadap pengidapnya dan ini lantas mengganggu kehidupan harian mereka di rumah, sekolah ataupun tempat kerja. Mereka yang mengalami fobia akan berasa takut untuk melakukan aktiviti harian yang biasa dilakukan oleh orang lain tanpa sebarang masalah kerana bimbang akan terlibat dalam situasi atau melihat objek yang mencetuskan fobia.
Sebagai contoh, mereka yang mengalami aquaphobia akan mengalami ketakutan melampau terhadap sungai, tasik, laut, pantai, kolam renang. Bukan itu sahaja, mereka akan berasa cemas sebelum menaiki feri atau bot, mereka juga mungkin akan mengalami kegelisahan, cemas dan menangis akibat ketakutan melampau sepanjang perjalanan. Mereka selalunya akan merancang perjalanan mereka agar tidak melibatkan pengangkutan air dan mengelakkan untuk pergi ke lokasi yang mempunyai sungai, tasik, laut atau kolam renang. Fobia sedikit sebanyak mempengaruhi gaya hidup mereka.
Tanda-Tanda Yang Dialami Oleh Mereka Yang Mempunyai Fobia
Mereka yang mengalami fobia akan menunjukkan tanda-tanda berikut:
Mengalami perasaan takut, cemas, dan panik ketika terdedah kepada sumber fobia. Sering kali, memikirkan tentang perkara/objek yang mendatangkan fobia sahaja sudah mampu membuatkan mereka berasa takut dan cemas.
Walaupun mereka sedar bahawa ketakutan melampau terhadap sesuatu objek atau situasi, mereka tidak dapat mengawal, melawan atau menahan rasa takut tersebut daripada mempengaruhi keadaan mental dan fizikal mereka. Ketakutan itu tidak dapat merasionalisasi oleh orang lain yang mungkin menganggap ia sebagai perkara yang remeh sedangkan ia merupakan isu yang serius buat mereka yang mengalami fobia tersebut.
Tanda-tanda ketakutan juga dimanifestasikan dengan reaksi wajah dan tubuh badan seperti gementar, berpeluh melampau, jantung berdegup dengan pantas dan mengalami kesukaran untuk bernafas. Untuk sesetengah kes, penderita fobia akan berasa mual, pening, pitam, hilang orientasi, dan/atau pengsan.
Di kalangan kanak-kanak, mereka biasanya akan menangis, menjerit, marah dan/atau mencari orang yang rapat dengan mereka yang boleh mereka bergantung untuk mendapatkan emotional security.
Jenis Jenis Fobia
Terdapat pelbagai jenis fobia yang wujud. Namun ia boleh dikategorikan kepada 4 kumpulan utama, iaitu ketakutan terhadap persekitaran sekeliling, ketakutan terhadap haiwan, ketakutan terhadap perkara yang berkaitan dengan isu perubatan dan ketakutan yang berkaitan dengan situasi sekeliling.
Berikut merupakan antara senarai fobia yang diketahui:
Acrophobia: Ketakutan terhadap ketinggian
Aerophobia: Ketakutan terhadap pesawat dan untuk terbang di dalam pesawat
Algophobia: Ketakutan terhadap kesakitan
Alektorophobia: Ketakutan terhadap ayam
Agoraphobia: Ketakutan untuk berada di tempat umum atau berhadapan dengan orang ramai
Aichmophobia: Ketakutan terhadap benda yang tajam
Amaxophobia: Ketakutan terhadap dan untuk berada di dalam kenderaan
Androphobia: Ketakutan terhadap lelaki
Anthropophobia Ketakutan terhadap manusia dan/ atau masyarakat
Aphenphosmphobia: Ketakutan terhadap sentuhan
Arachnophobia: Ketakutan terhadap labah-labah
Astraphobia: Ketakutan terhadap kilat dan guruh
Atelophobia Ketakutan terhadap ketidaksempurnaan
Atychiphobia Ketakutan terhadap kegagalan
Autophobia: Ketakutan untuk bersendirian
Bathmophobia:Ketakutan terhadap tangga atau cerun yang curam
Batrachophobia: Ketakutan terhadap haiwan amfibia
Belonephobia: Ketakutan terhadap pin dan jarum
Cacophobia: Ketakutan terhadap kehodohan
Catoptrophobia: Ketakutan terhadap cermin
Claustrophobia: Ketakutan untuk berada di tempat yang sempit
Coulrophobia: Ketakutan terhadap badut
Cynophobia: Ketakutan terhadap anjing
Dendrophobia: Ketakutan terhadap pokok
Dentophobia: Ketakutan terhadap doktor gigi
Dystychiphobia: Ketakutan terhadap kemalangan
Elurophobia: Ketakutan terhadap kucing
Entomophobia: Ketakutan terhadap serangga
Equinophobia: Ketakutan terhadap kuda
Gamophobia: Ketakutan terhadap komitmen perkahwinan
Genuphobia: Ketakutan terhadap lutut
Glossophobia: Ketakutan bercakap di khalayak ramai
Gynophobia: Ketakutan terhadap wanita
Hemophobia: Ketakutan terhadap darah
Herpetophobia: Ketakutan terhadap haiwan reptilia
Hydrophobia: Ketakutan terhadap air
Hypochondria: Ketakutan untuk jatuh sakit
Iatrophobia: ketakutan terhadap doktor
Katsaridaphobia: Ketakutan terhadap lipas
Lilapsophobia: Ketakutan terhadap ribut dan puting beliung
Lockiophobia: Ketakutan untuk bersalin
Mageirocophobia: Ketakutan untuk memasak
Megalophobia: Ketakutan terhadap sesatu yang bersaiz besar
Melanophobia: Ketakutan terhadap sesuatu yang bewarna gelap
Microphobia: Ketakutan terhadap sesuatu yang bersaiz kecil
Mysophobia: Ketakutan terhadap kekotoran dan kuman
Necrophobia: Ketakutan tehadap kematian atau sesuatu yang telah mati
Noctiphobia: Ketakutan terhadap waktu malam
Nosocomephobia: Ketakutan terhadap hospital
Nyctophobia: Ketakutan terhadap kegelapan
Obesophobia: Ketakutan terhadap kenaikan berat badan
Ombrophobia: Ketakutan terhadap hujan
Ophidiophobia Ketakutan terhadap ular
Ornithophobia Ketakutan terhadap burung
Philophobia: Ketakutan terhadap cinta dan kasih sayang