Carian
Tips Penjagaan Aksesori Fesyen Supaya Kelihatan Cantik Dan Kekal Berkilau
July 8, 2020 Lina Rosli

Memiliki aksesori fesyen yang cantik dan versatil adalah trend yang tular pada masa kini. Dengan pelbagai jenis reka bentuk dan warna yang tersedia, aksesori ini berfungsi sebagai pelengkap gaya untuk penampilan harian kita. 

Bagi anda yang meminati aksesori fesyen ini, pernahkah anda mempunyai kesukaran untuk memastikannya sentiasa berada di dalam keadaan baik? Jika ya, hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda beberapa petua bagaimana untuk menjadikan aksesori anda kelihatan baik dan kekal berkilau.

Tidak memakai aksesori sewaktu melakukan aktiviti melibatkan air

Elakkan daripada memakai atau memasang aksesori anda sewaktu: 

  • Melakukan kerja-kerja rumah seperti mencuci pinggan mangkuk dan cawan untuk tempoh yang lama
  • Mendobi atau mencuci pakaian
  • Mengadakan sesi relaksasi dan urutan di spa
  • Berenang di kolam renang atau pantai

Anda juga disarankan untuk tidak mendedahkan aksesori pada bahan kimia atau klorin kerana ia menyebabkan perubahan warna. 

Aksesori adalah perkara terakhir yang anda pakai dan perkara pertama yang anda tanggalkan

Menurut pakar fesyen, adalah lebih baik anda memakai aksesori fesyen setelah selesai bersolek, menyapu losyen badan dan menyembur minyak wangi. Hal ini bagi memastikan ia tidak terdedah dengan bahan-bahan kimia yang lain.

Selain itu, bagi mengelakkan barang perhiasan anda tersangkut pada baju atau tudung, anda perlu menanggalkannya terlebih dahulu sebelum menguruskan pakaian anda.

Simpan aksesori dengan baik

Jadikan sebagai satu kebiasaan atau tabiat untuk menyimpan barang perhiasan anda di satu tempat atau kotak khas yang mana ia telah disusun mengikut jenis. Sekiranya anda menyimpan semua perhiasan anda di dalam kotak yang sama atau mengumpulkan semua barang di dalam laci, ia boleh mengakibatkan kerosakan seperti goresan dan pintalan jika ia mempunyai tali yang halus dan panjang.

Cara paling mudah adalah menyimpannya dengan meletakkannya secara berasingan di dalam kantung lembut. Ia adalah lebih baik  jika anda menyimpannya dalam kotak perhiasan dengan pelbagai petak, yang juga memudahkan anda memilih dan memakai pada saat menggayakan.

Pakai sekali-sekala

Padankan aksesori dengan pakaian anda dan gantikannya selalu mengikut gaya pakaian anda. Dengan ini, ia akan membantu memelihara aksesori fesyen anda untuk jangka masa yang lebih lama. Memakai aksesori atau perhiasan yang sama secara berterusan boleh mengakibatkan perubahan warna.

Pastikan ia bersih dan kering

Keadaan yang lembap akan merosakkan aksesori fesyen dan menjadi sukar untuk mengekalkan kilauannya. Bersihkan aksesori dengan kain lembut dan pastikan ia bebas kelembapan. 

Elakkan daripada menggunakan pembersih atau cecair pencuci kerana ia boleh merosakkan kilauan aksesori. Sebilangan penggaya mengesyorkan untuk meletakkan lapisan cat kuku yang jernih untuk mengekalkan warna asal perhiasan anda.

Komen