Min Ahmad Diterbitkan 16 July 2020

Panduan Membeli Baju Dalam

Panduan Membeli Baju Dalam

Pakaian dalam merupakan satu keperluan bagi wanita. Pakaian dalam yang bersesuaian dengan saiz dan bentuk badan mampu membuatkan anda berasa selesa dan melonjakkan keyakinan diri.

Terdapat banyak jenis pakaian dalam di pasaran. Namun begitu, membeli pakaian dalam tidak semestinya berdasarkan kepada rekabentuk, warna dan material yang anda suka semata-mata. Pembelian pakaian dalam, lebih-lebih lagi baju dalam haruslah bertepatan dan bersesuaian dengan payudara dan badan. 

Sumber: Peachesandcream.ie

 

Berikut adalah panduan untuk anda membeli baju dalam yang bersesuaian dengan anda:

Dapatkan Ukuran Sebelum Membeli Baju Dalam

Ada di antara kita yang membeli baju dalam tanpa mendapatkan ukuran dada yang tepat. Walaupun anda sudah pun medapatkan ukuran dada beberapa tahun lepas, ia adalah tabiat yang baik untuk sentiasa mengukur saiz dada anda dari semasa ke semasa. 

Sesetengah baju dalam mempunyai fitting yang berbeza akibat perbezaan teknik jahitan, fabrik dan rekaan yang berbeza. Besar kemungkinan baju dalam jenama A mempunyai fitting yang berbeza dengan jenama B. 

Tambahan pula, ada yang menyangkakan sekiranya anda mempunyai payudara cup A ketika berusia 20-an, saiz payudara anda akan kekal begitu. Cup payudara boleh berubah akibat perubahan hormon, proses kehamilan, kehilangan dan/atau pertambahan berat badan. Oleh yang sedemikian, anda digalakkan mendapatkan ukuran dada sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

 

Ketahui Bentuk Badan Anda

Selain saiz payudara, bentuk badan memainkan peranan penting dalam pemilihan jenis baju dalam. 

Sumber: sheknows.com

 

Badan Berbentuk Pembaris

Potongan badan yang berbentuk pembaris mempunyai bukaan bahu, dada, pinggang dan pinggul yang hampir sama. Perbezaan saiz pinggang biasanya tidak kurang daripada 25% saiz dada atau pinggul. Anda mempunyai bentuk tubuh yang athletic, dengan punggung yang kelihatan rata dan saiz dada yang kecil. Selebriti seperti Taylor Swift, Dua Lipa, Kiera Knightly, dan Anne Hathaway mempunyai bentuk badan seperti ini.

Anda disarankan untuk memilih pakaian dalam yang mampu memberikan bentuk dan menyerlahkan potongan badan. Shapewear atau bodywear dengan sokongan di kawasan pinggang dan punggung dapat memenuhi kriteria ini. Ia memberikan potongan kepada bahagian dari bahagian dada ke punggung. Selain itu, anda sesuai mengenakan push-up bra bagi memberikan bentuk di kawasan dada. Disebabkan bahagian dada anda tidak ‘berat’ anda juga boleh menggunakan strapless, demi, dan/ atau balconette bra.

 

Badan Berbentuk Segitiga Terbalik

Badan berbentuk segitiga terbalik mempunyai bukaan bahu yang luas dengan ukuran yang mengecil di bahagian pinggul. Belakang badan anda kelihatan tegap berbanding dengan bahagian bawah badan yang langsing. Punggung anda juga kecil yang membuatkan ia kelihatan leper. Bentuk badan seperti ini sering dikaitkan dengan perenang. Fikirkan Charlize Theron, Angelina Jolie, dan Jessica Biel.

Anda boleh mengenakan demi, balconette bra. Bagi mereka yang mempunyai payudara yang besar, underwire dan full cup bra mampu memberikan sokongan penuh.

 

Badan Berbentuk Hourglass

Bagi anda yang mempunyai badan dengan bentuk hourglass, saiz bukaan dada dan pinggang adalah hampir sama, dengan pinggang dan peha yang terbentuk, serta dada yang penuh. Bentuk badan ini disebut sebagai figure 8. Sofia Vergara, Jennifer Lawrence, Scarlett Johansson dan Megan Fox merupakan selebriti yang mempunyai bentuk badan seperti ini.

Bagi anda yang mempunyai dada yang besar, minismiser bra adalah pilihan yang sesuai bagi mengurangkan penampilan dada yang menonjol. Mereka yang mempunyai dada bersaiz sederhana pula boleh mengenakan half cup bra seperti demi atau balconette bra. Strapless bra atau bralette yang mempunyai sokongan ringan haruslah dijauhi kerana ia tidak dapat memberi sokongan yang baik. Push up dan padded bra juga tidak galakkan kerana ia membuatkan bahagian dada tampak ‘berat’ dan terlalu menonjol.

 

Bentuk Badan Pir

Badan yang berbentuk pir mempunyai bukaan bahu dan dada yang kecil dengan ukuran pinggul, punggung dan dan peha yang lebar. Antara selebriti yang mempunyai bentuk badan ini ialah Jennifer Lopez, Kim Kardashian, Rihanna dan Shakira.

Bagi anda yang mempunyai payudara yang kecil, anda boleh menggayakan balconette bra. Push up bra dan/ atau padded bra juga sesuai untuk anda bagi memberikan impak fuller cup kepada dada anda. Ini sekaligus memberikan keseimbangan kepada bentuk badan badan membuatkan anda tampil kelihatan seolah-olah mempunyai bentuk badan hourglass. Mereka yang mempunyai payudara yang besar pula perlu mengenakan baju dalam seperti full cup atau underwire bra yang bersokongan penuh. 

 

Bentuk Badan Epal

Mereka yang mempunyai saiz badan berbentuk epal mempunyai payudara yang besar dengan bukaan bahu yang besar. Disebabkan bentuk badan kelihatan lebih berat di bahagian tengah badan, mereka biasanya mempunyai pinggul yang kecil dan potongan pinggang yang tidak ketara. Selebriti seperti Adele, Drew Barrymore, Liz Hurley dan Rebel Wilson mempunyai bentuk badan seperti ini.

Mereka disarankan memakai baju dalam bersokongan penuh dengan full cup. Bagi mereka yang mempunyai payudara yang besar, minimiser bra sesuai dipakai bagi mengurangkan penampilan payudara agar tidak terlalu menonjol.

Mereka juga disarankan untuk menjauhi baju dalam tanpa tali bahu, push-up dan padded bra bagi mengelakkan kawasan dada kelihatan ‘berat’.

 

Lihat Impak Pemakaian Baju Dalam di bawah Pakaian

Impak sebenar pemakaian sesuatu pakaian dalam dapat di lihat di bawah pakaian. Baju dalam yang padan dan sesuai akan menyokong payudara dan bahagian atas badan anda dengan baik. Cup baju dalam melekap dengan selesa dan payu dara anda tidak kelihatan seolah-olah ‘melimpah’ keluar. Sekiranya anda memakai baju dalam underwire, ia tidak seharusnya menekan dada anda menyebabkan anda tidak berasa selesa. Baju dalam yang bersesuaian akan membuatkan badan kelihatan kemas tanpa berbonjol-bonjol di bahagian sisi.