Adakah Pengambilan Karbohidrat Mempengaruhi Fungsi Otak?
Otak menyumbang kira-kira 2% daripada berat badan kita, tetapi menggunakan hampir 20% tenaga yang dijana dari glukosa. Ini sekaligus menjadikan nutrien daripada pemakanan adalah kunci untuk fungsi otak.
Glukosa membentuk blok dan rantaian karbohidrat serta berperanan dalam penghasilan serotonin di otak. Serotonin adalah neurotransmitter yang diterima secara meluas yang bertanggungjawab dalam menyeimbangkan mood (emosi) atau sesuatu tindakbalas.
Sumber tenaga terbesar untuk otak dijana daripada karbohidrat seperti biji-bijian, sayur-sayuran, buah, beras, kentang dan laktosa iaitu gula yang terdapat dalam susu. Kesemua sumber karbohidrat yang sihat akan dicerna dan dipecah oleh badan supaya menjadi glukosa dan kemudian digunakan oleh otak untuk berfungsi. Tanpa bekalan glukosa yang mencukupi, otak tidak dapat berfungsi dengan baik.
Terdapat beberapa saintis menyatakan bahawa gula halus akan menghasilkan kesan seperti ketagihan di otak manusia yang mempengaruhi tingkah laku dan corak tidur, namun setakat ini tidak ada pengesahan dan bukti yang menyokong pendapat ini. Ada juga kajian yang menyatakan, penurunan dalam pengambilan karbohidrat di dalam diet bukan sahaja akan menyebabkan penurunan berat badan, malah ia juga akan memberi kesan kepada memori dalam otak yang mana akan lebih mudah lupa dan tidak fokus.
Di Tufts University iaitu sebuah universiti di Amerika Syarikat, mereka melaksanakan satu kajian yang melibatkan dua kumpulan peserta. Kumpulan pertama mengambil kuantiti karbohidrat yang terhad selama seminggu telah menunjukkan prestasi yang teruk pada ujian ingatan berbanding kumpulan kedua yang mengikuti diet rendah kalori dan tinggi karbohidrat. Menerusi kajian ini, ia menunjukkan bahawa makanan yang kita makan akan memberi kesan langsung pada fungsi otak.
Karbohidrat Adalah Bahan Bakar Otak
Tubuh memecah karbohidrat menjadi glukosa, yang digunakannya untuk meningkatkan aktiviti otak. Protein dipecahkan menjadi glikogen, yang juga dapat digunakan untuk bahan bakar oleh otak namun tidak sepantas glukosa.

Selain itu, menurut kajian lain yang merangkumi 19 wanita berusia antara 22 hingga 55 tahun mengamalkan diet rendah karbohidrat yang serupa dengan diet Atkins atau diet rendah kalori yang disyorkan oleh Persatuan Dietetik Amerika. Dalam ujian yang dilakukan selepas minggu pertama, ia dapat dilihat penurunan dalam prestasi yang lebih buruk berdasarkan ingatan daripada wanita yang mengikuti diet tersebut.
Masa reaksi bagi mengukur perhatian dan kemampuan melakukan tugas bagi mereka yang menjalani diet rendah karbohidrat lebih perlahan dan ingatan ruang-visual mereka tidak sebaik pengamal diet rendah kalori.
________________________________________________________________________
Dengan ini dapat disimpulkan yang mana, otak memerlukan kuantiti tenaga yang mencukupi dalam melaksanakan tugasan harian. Tenaga ini boleh diperolehi melalui pengambilan glukosa yang dicerna daripada sumber karbohidrat dalam pemakanan seharian.