Kedai Jenama Jepun Don Don Donki Akan Dibuka Di Malaysia Seawal 2021
Berita baik buat peminat produk jenama Jepun, YTL Land Sdn Bhd baru-baru ini telah mengumumkan pembukaan cawangan pertama kedai jenama istimewa Jepun Don Don Donki di Malaysia di Lot 10 menjelang awal tahun 2021.
Don Don Donki merupakan sebuah kedai yang menawarkan pelbagai tawaran menarik di samping bakal menjadi destinasi membeli-belah paling popular di Kuala Lumpur. Menurut syarikat berkenaan, ia akan membawakan konsep kedai yang dinamik serta menampilkan tema yang lebih remaja yang dikenali sebagai Meet, Play, #LoveLot10.

Don Don Donki menawarkan pelbagai rangkaian produk mampu milik keluaran Jepun dan global yang disasarkan untuk pasaran Jepun. Ia dijangka akan menarik minat pelanggan tempatan serta para pelancong yang menyukai barangan Jepun yang mana akan ditawarkan pada harga berpatutan.

Kemasukan pertama jenama ini ke Malaysia adalah selepas kejayaannya perkembangan perniagaannya ke Asia Tenggara dengan pelancaran kedai Don Don Donki yang pertama di Orchard Road pada Disember 2017. Perkembangan pesat ini dapat dilihat di Singapura yang kini telah mempunyai sebanyak tujuh kedai di negara itu setakat ini. Ia juga telah dibuka di Thailand pada tahun lepas iaitu Februari 2019 dan juga telah diperluaskan di Hong Kong pada Julai 2019. Kini terdapat dua kedai Don Don Donki di Bangkok dan tiga di Hong Kong.
Di Malaysia, Don Don Donki ini terletak setentang dengan jalan Bukit Bintang. Ia merupakan kedai yang terbahagi kepada tiga tingkat yang mana akan menjadi tarikan utama di bahagian pintu masuk terbaru Lot 10 yang dijangka siap menjelang suku terakhir tahun 2020. Bukan itu sahaja, kedai ini juga mudah diakses bagi pengunjung yang menggunakan perkhidmatan awam.