Nasi ayam merupakan salah satu hidangan yang popular di Malaysia. Tidak kira untuk makan pagi, tengahari atau malam, hidangan ini sering menjadi pilihan kebanyakan individu di Malaysia.

Jadi, hari ini Tajria akan membantu anda untuk menyediakan Nasi Ayam untuk hidangan yang sesuai pada pagi hari raya Aidiladha.

Berikut adalah beberapa bahan yang diperlukan serta cara penyediaan yang mudah untuk memasak Nasi Ayam di rumah. Selamat mencuba!

Bahan-Bahan:

  • Ayam (direbus) :
    • 1 ekor ayam dipotong 8
    • 2 ulas bawang putih, ditumbuk halus
    • 2 cm halia, ditumbuk halus
    • 1 kiub ayam
  • Ayam (diperap) :
    • 1 sudu besar kicap pekat
    • 1 sudu kicap manis
    • 1 sudu besar sos tiram
    • 1 cm halia, ditumbuk halus
    • 2 ulas bawang putih, ditumbuk halus
    • 1 sudu besar kicap cair
  • Bahan untuk nasi:
    • 3 cawan beras
    • 4 cawan air rebusan ayam
    • 2 sudu besar butter
    • 1 cm halia ditumbuk halus
    • 3 ulas bawang putih ditumbuk halus
    • Sedikit garam
    • Bunga lawang
    • Buah pelaga
    • Kayu manis
    • 1 batang serai
    • Sedikit kunyit untuk warna dan aroma
  • Bahan untuk sos:
    • 7 biji cili api
    • 1 biji cili merah
    • 3 ulas bawang putih
    • Halia
    • 1 sudu besar cuka
    • 1 sudu teh garam
    • 1 sudu teh gula
    • 1/2 cawan air rebusan ayam
  • Bahan untuk sup:
    • Air rebusan ayam
    • 1 biji bawang besar, dikisar
    • 2 sudu rempah sup
    • 1 sup bunjut
    • Garam

Cara Penyediaan:

Cara penyediaan untuk ayam:

  1. Bersihkan ayam, toskan air dan lumurkan dgn 2 ulas bawang putih dan halia yg diketuk.
  2. Rebus ayam bersama 1 kiub ayam sehingga empuk.
  3. Angkat ayam dan perap dengan bahan perap selama 1/2 jam menggunakan bahan perapan yang telah disediakan.
  4. Kemudian goreng dalam kepanasan api sederhana seketika sehingga garing.

Cara untuk memasak nasi:

  1. Basuh beras dan tos air.
  2. Panaskan butter lalu tumiskan bahan untuk nasi, serai, halia serta bawang putih hingga garing. Masukkan beras dan masak seketika sehingga naik aroma dan bau.
  3. Masukkan air rebusan ayam, garam dan kunyit secukupnya. Masak nasi seperti biasa.

Cara untuk memasak sup:

  1. Rebus air rebusan ayam bersama rempah sup dan sup bunjut, bawang besar, dan masukkan garam secukup rasa.
  2. Setelah selesai, anda boleh menaburkan bawang goreng dan hirisan daun sup untuk rasa yang lebih menarik.

Cara untuk memasak sos:

  1. Kisarkan semua bahan di atas dan masakkan di atas api sehingga mendidik.
  2. Tutup api apabila cili sudah naik minyak dan aromanya yang sedap dapat dihidu.
Lihat profil
Lina Rosli

480 artikel di Tajria.