Ketahui Cara Membersihkan Lima Alat Kecantikan Yang Kerap Digunakan
Bgai anda yang kerap menggunakan alat kecantikan seperti berus solekan, pengetip kuku dan lain-lain, pasti ia lebih kerap dan cepat mempunyai kotoran yang mungkin mengambil masa untuk dibersihkan.
Apa yang lebih membahayakan adalah jika ia tidak dicuci dan dibersihkan dengan betul, ia akan menghasilkan ruam kulit atau jangkitan bakteria akibat kotoran yang terlekat pada alat kecantikan anda.
Jadi, hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda cara membersihkan lima alat kecantikan dan kesihatan diri anda yang betul.
Berus Solek
Berus adalah perangkap habuk yang paling banyak. Anda mungkin tidak melihatnya untuk jangka masa pendek, namun ia akan merosakkan kulit anda jika ia tidak dibersihkan dan disimpan di tempat yang bersih. Ia tidak menjadi masalah jika anda mempunyai pilihan berus yang banyak kerana anda tidak perlu terburu-buru untuk mencucinya.
- Langkah pertama yang perlu anda lakukan jika hendak mula mencuci adalah basahkan berus dengan air biasa atau sejuk. Pastikan anda hanya basahkan bahagian bulu untuk mengelakkan pelekat yang melekatkan berus ke pemegang daripada tertanggal.
- Letakkan sebotol syampu atau bahan pencuci lembut di telapak tangan anda dan gosokkan berus tersebut pada bahan cucian. Pastikan ia masuk terus ke bahagian tengah berus.
- Bilas dengan air biasa, biarkan pemegangnya kering. Perah bulu berus perlahan-lahan dan letakkan pada tuala agar kering sekurang-kurangnya semalaman sebelum menggunakannya.
Pengeriting Bulu Mata/ Pengepit Bulu Mata
Mascara dan eyeliner adalah bahan solekan yang paling sukar untuk dibersihkan dan acapkali tertinggal pada pengepit atau pengeriting bulu mata anda. Pengepit ini harus dibersihkan sekurang-kurangnya setiap minggu atau setiap hari jika anda mempunyai mata sensitif bagi mengelakkan apa-apa jenis jangkitan mata.
- Untuk membersihkan pengepit, basahkan alas kapas atau cotton bud dengan alkohol. Gosokkan dan lap semua permukaan pengerinting yang bersentuhan dengan mata anda.
- Bilas dengan air sejuk biasa kerana alkohol boleh mengeringkan komponen getah atau plastik yang mana boleh menjadikan getah pada bahagian pengepit keras. Keringkannya pada tuala bersih.
Pengasah Pensil Solekan
Eyeliner jenis pensil, eyebrow dan lip liner kerap menjadi tumpul dan perlu diasah. Dan kadangkala, habuk atau lead mudah melekat pada pengasah setelah diasah. Untuk mengelakkan kotoran, pengasah harus dibersihkan setiap kali selepas digunakan.
- Celupkan berus gigi lama ke dalam alkohol atau hidrogen peroksida dan gosokkannya pada bahagian mata pengasah dengan teliti.
- Bilas dengan air sejuk dan biarkan hingga kering.
Alatan Pembersih Kuku
Kuku adalah salah satu bahagian badan yang mempunyai bakteria. Jadi alatan pembersih kuku atau alat manikur dan pedikur kerana alat tersebut bersentuhan perlu dibersihkan dengan kerap.
- Alat logam (pengetip kuku) harus dibasuh dengan air suam dan sabun anti-bakteria menggunakan berus gigi lama. Kemudian bahagian mata pengetip boleh dibersihkan dengan alkohol isopropil atau hidrogen peroksida selepas setiap penggunaan.
- Pastikan alatan tersebut betul-betul kering dan disimpan dengan betul di dalam bekas bersih. Jangan tinggalkan alatan yang kotor di dalam beg plastik atau bekas kedap udara kerana boleh mendorong pertumbuhan bakteria.
Sikat Rambut Atau Aksesori Rambut
Sikat rambut dan aksesori rambut yang lain mudah mengumpulkan banyak kotoran berminyak, kulit mati dan bahan kimia hasil daripada produk rambut pada permukaan berus. Sekiranya anda tidak membersihkannya secara berkala, semua bakteria dan kotoran akan berpindah ke rambut anda dan boleh merosakkan rambut anda.
________________________________________________________________________
Bagi anda yang mungkin tertanya-tanya, bilakah waktu yang sesuai untuk anda bersihkan kesemua alat kecantikan anda. Pada pendapat saya sendiri, alat yang mudah dibersihkan seperti pengetip kuku, pengerinting bulu mata atau sikat, ia boleh dibersihkan setiap kali selepas penggunaan menggunakan tisu basah/tisu solek. Manakala untuk berus-berus pula, ia sesuai dibersihkan sewaktu hujung minggu atau waktu-waktu lapang kerana ia sukar dan agak rumit untuk dicuci.