Carian
Sejarah Baju Kurung – Diperkenalkan Sewaktu Kesultanan Melaka
January 14, 2021 Lina Rosli

Dunia fesyen dilihat telah bergerak dengan sangat pantas untuk sejak beberapa tahun ini. Ia meliputi fesyen wanita, lelaki, kanak-kanak, pakaian harian, pakaian bersukan dan banyak lagi.

Bercakap mengenai fesyen ini lagi, pastinya anda dapat melihat perubahan yang ketara dari segi pemakaian pada zaman moden ini. Para wanita kini tidak lagi menggunakan baju kurung sebagai busana harian. 

Ia biasanya hanya dapat dilihat sewaktu majlis formal, keramaian, majlis perkahwinan dan sewaktu hari raya sahaja. Hal ini kerana, individu kini lebih memilih untuk memakai pakaian yang lebih kasual yang mana lebih mudah untuk bergerak.

Jadi, hari ini Tajria akan mengupas lanjut mengenai sejarah baju Kurung dan bagaimana busana ini menjadi salah satu pakaian tradisional yang gemilang sepanjang zaman.

Asal Usul Baju Kurung

Baju Kurung adalah salah satu gaya pakaian masyarakat Melayu yang tertua. Ianya dicipta dan dipopularkan oleh Tun Hassan Temenggong iaitu putera Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, pada kesultanan Melaka abad ke-15.

Seperti yang anda ketahui sebelum ini, Melaka adalah sebuah tempat perlabuhan dan pusat perdagangan entreport. Ia menyaksikan ribuan pedagang daripada negara China, India, dan Timur Tengah datang untuk berdagang. Dalam masa yang sama mereka berdagang, pelbagai budaya dan juga adat turut ditampilkan. Sudah tentu juga gaya pemakaian sebelum adanya baju kurung banyak dipengaruhi oleh para pedagang yang hadir.

Menurut Sejarah Melayu, Sultan Mansur Shah, penguasa Melaka yang keenam pernah melarang wanita Melayu untuk memakai kain sarung atau kain kemban dari bahagian bawah dada kerana ia tidak melambangkan identiti seorang wanita Islam pada ketika itu.

Setelah kejatuhan kesultanan Melaka, versi lain dari Baju Kurung telah dicipta sewaktu Kesultanan Johor. Sultan Abu Bakar dikreditkan sebagai pereka gaya Baju Kurung Teluk Belanga pada tahun 1866. Baginda telah mempopularkan pakaian warisan dan menjadikannya pakaian rasmi orang Melayu Johor.

Baju Kurung Teluk Belanga ini dilihat lebih panjang dan longgar yang mana ia diberi nama bersempena ibu kota kesultanan pada masa itu, Telok Blangah di Singapura.

Selain Baju Kurung Teluk Belanga, terdapat beberapa variasi lain yang diperkenalkan mengikut negeri. Ia termasuk:

Baju Kurung Cekak Musang: Rekaannya seakan Baju Kurung Teluk Belanga kecuali pada leher yang mempunyai kolar dengan lubang untuk lima butang. Gaya Baju Kurung ini dipercayai mendapat pengaruh dari India dan China.

Baju Kurung Kedah: Ia dipercayai dipengaruhi oleh budaya Thailand kerana ia hadir dengan rekaan blaus pendek paras pinggul dan biasanya dipakai dengan kain batik tanpa banyak hiasan. Gaya Kedah dianggap sebagai pakaian longgar dan pakaian harian yang popular di negeri-negeri utara di Malaysia.

Baju Kurung Pahang: Turut dikenali sebagai Baju Kurung Riau-Pahang yang diilhamkan oleh Tengku Ampuan Mariam, puteri Sultan Ahmad Al-Muazam Shah. Berbeza dengan baju kurung biasa, gaya Pahang mempunyai kolar Cekak Musang dengan tujuh atau sembilan butang.

Baju Kurung Perak: Baju Kurung Perak diilhamkan oleh royalti Perak dan Aceh. Ia dipakai dengan seluar sama seperti Baju Melayu lelaki. Ia mempunyai kolar dengan gaya Cekak Musang dan menyerupai pakaian wanita Aceh.

Bagaimana Baju Kurung Kekal Gemilang Pada Zaman Moden?

Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia memperlihatkan budaya yang unik disamping mengekalkan keperluan agama.

Baju kurung ini telah memenuhi kriteria wajib yang perlu diambil kira oleh para wanita Islam. Malah, apa yang menarik dengan Baju Kurung adalah walaupun ia merupakan satu pakaian tradisional yang telah diperkenalkan sejak 1000 tahun yang lalu, namun gayanya masih lagi versatil ditambah lagi apabila kebanyakan para pereka fesyen sekarang menggabungkan elemen tradisional dan fesyen moden dalam satu rekaan.

Antara sebab mengapa baju kurung masih lagi popular dalam kalangan wanita adalah ia mampu menambah kecantikan, keanggunan, dan keselamatan kepada para wanita Melayu.

Sekitar 90% wanita Melayu mengatakan bahawa baju kurung itu cantik, dan mereka gemar memakai baju kurung. Selain itu, baju kurung juga cukup longgar dan sesuai untuk semua wanita yang membuat mereka berasa selesa dan selamat.

Baju kurung ini juga bukan hanya dipakai oleh para wanita di Malaysia sahaja, malah ia turut digunakan oleh wanita di Brunei, Indonesia, Singapura dan selatan Thailand. 

Akhir sekali, baju kurung telah berkembang seiring dengan perubahan waktu dan mengikut kesesuaian si pemakainya, rekaannya tetap sama. Ia tetap digunakan sebagai item fesyen yang masih relevan sehingga ke hari ini.

Komen