Adakah Akan Berlaku Trend Majlis Resepsi Kahwin Dilangsungkan Secara ‘Live Stream’ Pada 2021?
Disebabkan penularan wabak Covid-19 ini masih belum reda di kebanyakan tempat di Malaysia, pastinya ia telah memberikan kesan kepada beberapa industri termasuk industri perkahwinan.
Malah, sejak berlakunya wabak penularan ini pada Mac 2020 yang lalu, ia banyak mengubah sistem dan juga operasi di kebanyakan industri. Ramai juga telah mula menukar kaedah operasi ke arah digitalisasi. Ini bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan juga ekonomi stabil untuk bulan-bulan berikutnya.
2020 Menyaksikan Pelbagai Acara Dilaksanakan Secara Atas-Talian
Jika kita lihat, banyak majlis dan acara pada tahun 2020 telah dibawa ke tahun 2021. Antaranya majlis perasmian dan keramaian, konsert dan juga acara hiburan serta majlis perkahwinan.
Namun, ada juga penganjur yang hadir dengan idea penstriman yang membolehkan penonton dari seluruh negara menyertai dan menyaksikan sesebuah acara pada masa yang sama.
Kaedah ini dapat dilihat untuk kebanyakan konsert dan juga majlis pelancaran. Banyak jenama dan juga kumpulan penyanyi yang menggunakan kaedah penstriman langsung untuk melaksanakan acara. Ia dilakukan bertujuan untuk memastikan acara dapat kekal berjalan dan dalam pada masa yang sama mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.
Sebagai contoh, satu kumpulan lelaki daripada Korea iaitu SuperM telah melaksanakan konsert eksklusif secara atas-talian yang menyaksikan lebih 75,000 peminat menonton penstriman langsung berkenaan pada May 2020. Kaedah ini dilihat telah diikuti oleh kebanyakan kumpulan Kpop yang lain termasuk BTS, NCT 127, TVXQ dan Super Junior.
Malah, acara perlawanan tinju juga dilihat telah mula menggunakan penstriman langsung yang mana penonton akan masuk ke dalam gelanggang atas talian untuk menyaksikan pertempuran berkenaan.
Adakah Kita Akan Menyaksikan Trend ‘Live Stream’ Ini Dilaksanakan Untuk Majlis Perkahwinan Pada 2021?
Sebelum ini, terdapat beberapa pasangan di seluruh dunia telah melangsungkan majlis perkahwinan secara penstriman langsung atau (live streaming).
Corey Mansfield, salah seorang pasangan dari North Carolina melaksanakan majlis secara penstriman langsung semasa COVID-19. Majlis ini dilangsungkan pada 20 Mac dan ditonton lebih dari 70 orang menerusi panggilan Zoom. Upacara perkahwinan berkenaan diadakan di gereja di Southern Pines, North Carolina yang hanya didatangi kedua pasangan pengantin, tok kadi dan juga kedua ibu bapa pasangan.
Tidak ketinggalan, di China juga satu pasangan yang tidak mahu menangguhkan majlis perkahwinan disebabkan tempahan yang telah dilakukan sejak awal lagi. Pasangan Mr. Yew dan Ms. Kang ini memberitahu para jemputan yang mana majlis akan dilangsungkan secara maya.
Menarik bukan? Dengan adanya teknologi penstriman ini, segala aktiviti dan acara masih dapat dilakukan dengan selamat tanpa menjejaskan kesihatan.
Tajria baru-baru ini telah menjumpai satu platform yang menawarkan servis yang mana anda boleh melangsungkan perkahwinan secara maya iaitu LoveStream.io.
Melalui LoveStream, anda boleh melangsungkan majlis resepsi dengan jemputan tanpa had, lima kamera yang boleh merakam detik perkahwinan berbeza, laman web khusus untuk majlis perkahwinan sendiri dan juga pelbagai pilihan pakej mengikut kriteria bajet.
Nampaknya, dengan adanya penawaran servis seperti ini sudah tentu akan sedikit sebanyak mengubah trend untuk melangsungkan majlis resepsi perkahwinan.
Namun, trend ini dapat dilihat banyak dilakukan di negara luar. Malaysia sebelum ini pernah melaksanakan majlis akad nikah secara atas-talian. Sementara majlis resepsi, kebanyakan pasangan masih lagi ingin melakukannya secara fizikal dengan jumlah jemputan terhad untuk 250 orang sahaja.
Jadi, adakah pada masa-masa akan datang majlis resepsi melalui penstriman langsung ini akan menjadi sohor kini pada masa akan datang?