Carian
Ketahui Persediaan Menghadapi Musim Hujan – Supaya Kekal Selamat
January 6, 2021 Lina Rosli

Ketahui Persediaan Menghadapi Musim Hujan – Supaya Kekal Selamat

Bagi anda yang telah menetap lama di Malaysia, pastinya anda sudah mengetahui keadaan cuaca di negara ini. Menjadi sebuah negara yang berada pada garisan khatulistiwa, anda pasti tahu yang mana cuaca di sini hanya mengalami dua musim sahaja, iaitu panas atau hujan.

Sejak beberapa hari ini, Malaysia dilihat sudah mula memasuki fasa monsun Timur Laut yang mana biasanya akan berlaku sekitar bulan November sehingga Mac.

Apabila tiba musim ini, kebiasaannya penduduk di kawasan timur Malaysia akan mengalami keadaan hujan sepanjang hari yang boleh mengakibatkan banjir. Jadi, bagi penduduk yang berada di kawasan seperti pantai dan sungai perlu bersiap sedia dengan ancaman dan risiko bahaya angin kencang dan bermacam-macam yang lain.

Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda langkah persediaan dan juga tips sewaktu menghadapi musim hujan.

Bersihkan Kawasan Rumah

Perkara paling utama dalam persediaan musim hujan adalah membersihkan kawasan rumah anda. Ia termasuk:

  • Lihat siling dan dinding rumah anda jika terdapat tanda-tanda kebocongan pada bumbung. Jika bocor, pastikan anda segera membetulkannya.
  • Potong pokok atau dahan yang berbahaya di kawasan sekitar rumah anda. Ia bagi mengelakkan risiko dahan patah yang boleh mengakibatkan kecederaan.
  • Pastikan pintu dan tingkap selamat. Pasang weatherstripping jika perlu.
  • Bersihkan dan tutup bahagian atas longkang besar. Anda juga boleh meletakkan penanda pada kawasan berdekatan longkang atau parit bagi mengelakkan anda terjatuh ke kawasan tersebut.
rain drops on window glass

Sentiasa Mengetahui Perkembangan Cuaca

Ketika berada di dalam fasa cuaca yang tidak menentu ini, pastikan anda meluangkan masa untuk menonton berita, membaca maklumat terkini untuk mengetahui keadaan cuaca. Anda mesti tahu ramalan cuaca apa yang akan berlaku pada keesokan harinya dan merancang perjalanan anda dengan sebaik-baiknya.

Anda juga disarankan untuk mengelakkan bercuti atau melancong di kawasan-kawasan hotspot. Ia bagi mengelakkan kemungkinan anda terkandas di kawasan banjir.

two person driving on rainy road

Selain itu, anda juga boleh mengetahui info mengenai banjir melalui aplikasi MyInfoPublicBanjir yang ditawarkan untuk pengguna Android dan juga iOS.

Simpan Makanan Yang Mencukupi

Bagi anda yang mungkin berada jauh dari bandar atau kawasan yang paling sering terputus hubungan, anda perlu bersiap-sedia dengan bekalan makanan yang boleh tahan lama.

Jika makanan basah, anda mungkin boleh menyimpak stok ayam dan juga daging untuk seminggu. Ia bagi memastikan kelancaran hari anda sepanjang musim hujan ini berlangsung.

Mempunyai Rancangan Pemindahan (Jika Perlu)

Sejak akhir-akhir ini, anda pasti banyak melihat berita tentang kawasan-kawasan di sekitar Malaysia yang telah terjejas. Antara tempat yang berlaku banjir termasuk Kota Tinggi, Mersing, Laluan LPT 1 , Muallim, Jara dan banyak lagi.

Water Dew in Clear Glass Panel

Oleh itu, jika anda salah satu keluarga yang tinggal di kawasan hotspot banjir, anda perlu bersiap-sedia menghadapi perkara terburuk yang boleh berlaku pada musim hujan ini, iaitu banjir.

Perkara pertama yang boleh anda rancangkan termasuk, kawasan meletakkan kenderaan, tempat simpanan untuk dokumen-dokumen penting, susunan barangan rumah dan lain-lain.

Sentiasa Bawa Pengecas Peranti Pintar

Jika berada di luar rumah dan juga keadaan yang tidak menentu, medium komunikasi amat penting supaya anda boleh kekal berhubung. Pastikan anda menyediakan alat pengecas ataupun powerbank di dalam beg anda supaya telefon pintar anda mempunyai bateri jika berada di saat-saat kecemasan.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ambil berat dan juga antara langkah persediaan yang perlu anda praktikkan sepanjang musim hujan ini. Semoga anda kekal selamat!

Komen