Baucar Pelancongan Selangor Dilancarkan – Boleh Ditebus Di Lazada Dan Touch ‘n Go eWallet

Terkini, Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Tourism Selangor telah melancarkan Baucar Pelancongan Negeri Selangor bagi merancakkan industri pelancongan Negeri Selangor dengan pelaksanaan Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!”.

Susulan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik Negara oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), banyak industri pelancongan telah mula mempergiatkan penawaran servis dan perkhidmatan selepas penularan wabak Covid-19 telah menjejaskan sumber pendapatan utama kebanyakan pihak.

Bagi meningkatkan dan membaik-pulih semula sektor pelancongan di negeri Selangor, kerajaan negeri menjadi pendahulu dalam pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi  dan juga Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020.

Antara yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020 adalah Pakej Bantuan Sektor Pelancongan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM 2.6 Juta dan juga penawaran subsidi “Baucar Pelancongan Negeri Selangor” dengan nilai peruntukan sebanyak RM 2 Juta.

Penggunaan baucar ini adalah dalam bentuk pengembalian wang di dompet digital dan baucar digital sebanyak RM 200.00 seorang untuk penerima yang layak.

Baucar ini perlu digunakan bagi pakej-pakej pelancongan terpilih yang akan melalui penyenaraian di aplikasi dompet digita Touch ‘n Go e-Wallet dan laman edagang Lazada melalui capaian khas pautan khusus mikro ‘Kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’.

Penebusan subsidi baucar pelancongan ini boleh ditebus bermula pada 8 hingga 31 Januari 2021 dengan tempoh sah penggunaan bagi pakej yang telah dibeli sehingga 30 Jun 2021.

Walau bagaimanapun, disebabkan peningkatan kes Covid-19 di sekitar Selangor, pihak Tourism Selangor mensarankan kepada para pelancong untuk mengamalkan norma baharu yang menekankan SOP mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa melancong ke Negeri Selangor.